Sunday 29 March 2015

Kepelbagaian Kompetensi Murid Pemulihan Khas

Kompetensi Kendiri


Kompetensi kendiri bermaksud bagaimana seseorang individu itu dapat menguruskan dirinya sendiri:

i. Kesedaran Kendiri

Kecerdasan emosi yang paling asas adalah keupayaan menyedari satu-satu perasaan  dan dapat memberikannya identifikasi tertentu. Aras ini juga merujuk kepada kesedaran hubungan antara buah fikiran, perasaan dan  tindakan. Individu sedar berkenaan pemikiran jenis apa yang merangsang perasaannya. Tambahan lagi kesedaran adalah perasaan yang akan terbit akibat daripada satu-satu tindakan itu. Paling penting, kita menyedari apakah emosi kita pada waktu ini dan bagaimana emosi itu dapat membantu kita membuat keputusan yang tepat dan bijak. Kesedaran kendiri melibatkan kepercayaan dan keyakinan pada diri. Guru pemulihan yang bersikap prihatin akan perasan emosi seseorang murid pemulihan, kerana biasanya emosi murid pemulihan akan terpancar daripada wajahnya seperti:



Emosi gembira






      Emosi sedih






       Emosi rasa tertekan







       Emosi geram/marah!






ii. Pengurusan Kendiri



Kita mempunyai peluang yang amat terhad untuk mengawal emosi yang menguasai diri. Kemampuan kita juga agak terbatas untuk menentukan emosi yang akan menguasai kita. Emosi datang tanpa diundang kerana bila-bila sahaja emosi boleh muncul tanpa direncana. Namun apa yang boleh dilakukan ialah dengan menentukan emosi yang menguasai kita itu hanya sementara sahaja. Kita boleh menentukan berapa lama emosi itu akan menguasai diri kita. Emosi marah akan menjadi aktif dan bertindak dengan cepat sekali tanpa diduga apabila terdapat rangsangan emosi seperti apabila ego kita dicabar,keselamatan kita diancam ataupun keupayaan atau hak kita dirampas ataupun dinafikan. Jika emosi negatif ini tidak dibendung dengan segera maka ia akan membawa mudarat. Maka beberapa kemahiran boleh dipraktikkan, seperti memikir kembali rangsangan emosi tadi, mencabar fikiran yang mencetuskan emosi marah itu dan mengalih tumpuan masalah. Seseorang yang mampu mengurus emosinya boleh dikira mempunyai sebahagian kecerdasan emosi. Guru pemulihan boleh membantu murid pemulihan menguruskan emosi yang menguasai diri seperti tidak cepat putus asa jika masih tidak dapat menguasai kemahiran 3M.










Walaupun sedikit sahaja kemahiran yang dikuasai oleh murid pemulihan tetapi pujian yang diberikan guru dapat meredakan emosi murid pemulihan yang kurang gembira, malahan dapat meningkatkan motivasi murid



iii. Motivasi kendiri


Motivasi adalah satu dorongan yang menyebabkan seseorang bertindak atas kehendak mereka sendiri. Setiap individu bertanggungjawab memotivasikan diri mereka sendiri, orang lain hanyalah sebagai perangsang.






Guru pemulihan boleh mendorong murid pemulihan untuk menghargai hasil kerja mereka sendiri, dokumenkan secara sistematik semua hasil kerja murid dan minta murid pemulihan melihat sendiri hasil kerja mereka dari semasa ke semasa untuk membuat perbandingan peningkatan prestasi.



2. Kompetensi Sosial

i. Kesedaran Sosial

Kesedaran sosial bermaksud seseorang individu itu sedar mengenai perasaan, kemahuan dan perihal orang lain. 

Melibatkan keupayaan yang dimiliki oleh murid pemulihan: 

1. Rasa empati 










Dapat merasai dan memahami perasaan emosi yang ditanggung oleh orang lain, rasa empati yang dimiliki akan menjadikan murid pemulihan bersikap lebih prihatin dan tidak menimbulkan masalah kepada keluarga dan pihak sekolah dari segi disiplin


2. Membangun individu lain




Jika murid pemulihan telah dapat menguasai kemahiran 3M, mereka sudi untuk berkongsi bersama rakan-rakan dalam program pemulihan, gaya belajar mereka supaya rakan mereka turut sama dapat menguasai kemahiran 3M



3.   Kesedaran organisasi 










Memahami peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah, akur jadual waktu yang telah ditetapkan, murid pemulihan sendiri akan ke bilik khas pemulihan pada waktu mata pelajaran bahasa Melayu dan matematik



4. Berorientasikan perkhidmatan












Guru pemulihan sedaya upaya menyedarkan murid pemulihan peranan guru untuk membimbing murid pemulihan sehingga dapat menguasai kemahiran 3M, peranan guru perlukan kerjasama murid & ibu bapa murid pemulihan


5. Melayani kepelbagaian
















Selain perlu menguasai kemahiran 3M, kepelbagaian kebolehan murid juga diambil kira untuk peningkatan perkembangan pembelajaran murid ,guru boleh membuat penilaian kebolehan pelbagai murid berdasarkan pemerhatian ketika aktiviti p&p dilaksanakan dalam kelas


ii. Kemahiran Sosial


Kemahiran sosial bermaksud seseorang individu itu dapat menyesuaikan dirinya dalam sesuatu situasi dan menginginkan tindak balas daripada orang lain.

Melibatkan keupayaan yang dimiliki oleh murid pemulihan: 

1.        Kepimpinan berinspirasi
2.        Komunikasi
3.        Pengaruh
4.        Pemangkin perubahan 


3. Pembentukan Sikap

Faktor Membina Sikap Positif Murid 


i. Pengalaman manis kerana mendapat kejayaan. 


Guru memberikan token yang dapat meningkatkan lagi semangat  murid untuk terus berusaha, memberikan pujian kepada murid pemulihan di kelas aliran biasa supaya murid pemulihan berasa diri mereka juga dihargai di hadapan rakan-rakan satu kelas. Menjemput ibu bapa ke sekolah untuk berkongsi kejayaan murid dapat menguasai kemahiran 3M.










ii. Sentiasa mendapat dorongan dan pujian daripada keluarga, guru dan rakan sebaya.


Faktor dorongan dan pujian tidak boleh diabaikan, murid pemulihan yang sentiasa mendapat kata-kata semangat dan diberi pujian ketika mereka dapat menyudahkan tugasan yang diberi dengan kemas, berdisiplin dan dapat bergaul dengan rakan-rakan secara baik, akan mengekalkan sikap positif tersebut.


iii. Pencapaian akademik yang memberangsangkan.

Membawa murid-murid pemulihan menyertai kem pembelajaran,  supaya mereka bergaul dengan murid-murid lain dengan cara ini dapat mendorong keinginan murid pemulihan untuk mencapai akademik yang memberangsangkan. 


iv. Keadaan sosioekonomi keluarga yang membuatkan murid berasa selesa dan senang dengan kehidupannya. 


Menyakinkan murid keluarga sangat penting, murid pemulihan perlu menerima seadanya kehidupan bersama keluarga, tidak bersikap terlalu meminta-minta, bersikap berjimat-cermat dan bangga mempunyai keluarga yang dapat memberikan perlindungan kepada mereka.


v. Matlamat yang ditetapkan sesuai dengan tahap murid, membolehkan murid mencapai matlamat yang diharapkan. 


Matlamat yang hendak di capai sesuai dengan keupayaan murid. Menyediakan pelbagai bentuk bahan yang dapat merangsang murid untuk dapat menguasai kemahiran 3M seperti bahan bantu maujud, bahan-bahan berasaskan teknologi maklumat, yang boleh memberikan kepelbagaian bahan dan aktiviti pembelajaran kepada murid . 












Guru sentiasa memberikan pujian dan dorongan  kepada murid pemulihan 



Bimbingan Berterusan daripada Guru 


i. Guru mengelolakan aktiviti yang bersesuaian dengan minat murid bagi membentuk sikap kendiri positif. Mengadakan bengkel pembelajaran secara aktif, guru menggunakan pelbagai aktiviti dan bahan yang berunsurkan inovasi dan kreatif yang dapat mengekalkan minat murid untuk terus mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam kelas pemulihan.


ii. Menekankan penerapan nilai-nilai murni dalam pendidikan moral dan agama. Menghasilkan murid yang berdisiplin dan bersahsiah, menghormati ibubapa, guru, rakan-rakan  dan masyarakat. 

 
iii. Menggalakkan murid menyertai kem bina semangat bagi meningkatkan daya ketahanan diri murid. Membina diri murid yang tabah dengan pelbagai dugaan dalam mencapai matlamat untuk menguasai kemahiran 3M. Membina sahsiah diri murid yang kuat keazaman diri untuk berjaya.

iv. Mengadakan kem motivasi bagi murid yang mempunyai keyakinan diri yang rendah. Menjadikan murid pemulihan lebih berkeyakinan bercakap di khalayak ramai, berani tampil untuk menyuarakan pendapat dalam kelas, tidak ragu-ragu pada kebolehan diri sendiri dan boleh hidup dalam masyarakat secara berdikari.


v. Gunakan ganjaran dan pujian untuk menunjukkan perhargaan terhadap hasil yang dilakukan oleh murid. Ekonomi token boleh digunakan oleh guru untuk menaikkan semangant murid mencapai kemahiran 3M dan dapat menggalakkan murid sentiasa menghadiri kelas pemulihan, murid juga akan berasa diri dihargai oleh guru dan rakan-rakan di sekolah. Hubungan guru dan murid menjadi mesra dan ini memudahkan guru menyampaikan pengajaran. 

No comments:

Post a Comment

Terima kasih di atas komen membina anda