Saturday 10 September 2016

Lily
Setiap pagi pastinya Lily kelam-kabut ketika hendak ke sekolah. Pagi tu sebelum ke sekolah Lily baru nak ikut jadual waktu, menseterika baju sekolah, mandi dan bersarapan. Sempat ke? pastinya tak sempat! Apabila tak sempat Lily menangis teresak-esak minta bantuan adik beradiknya yang lain. Marahlah kakak dan abang Lily, sebab mereka pun hendak bersiap untuk ke sekolah. Berbeza dengan kakak dan abang Lily yang telah bersiap sedia di sebelah malam untuk persiapan ke sekolah. Lily sering bertangguh untuk membuat persediaan ke sekolah di sebelah malam, Lily membuat anggapan dia sempat menyediakan keperluan dan menguruskan dirinya pada sebelah pagi, tetapi ternyata sangkaannya meleset sama sekali. Lily sempat mandi dan mengikut  jadual waktu tetapi tidak sempat untuk menseterika baju dan bersarapan.
Ketika menaiki bas untuk ke sekolah Lily sering hampir tersungkur di tangga bas sekolah. Kakak Lily cepat-cepat akan menarik tangan Lily untuk mengelak Lily daripada terjatuh. Lily memberitahu kakaknya bahawa dia pasti telah memijak anak tangga yang betul, tetapi apabila dia melangkah naik tangga bas, dia sendiri tidak pasti kenapa dia tidak memijak pada anak tangga yang sepatutnya.
Mata pelajaran yang paling diminati Lily adalah Kemahiran Hidup. Ketika membuat aktiviti membuat rak buku kecil, Lily bersungguh-sungguh mengergaji dan memaku rak buku yang dibinanya. Lily seorang yang ringan tulang, dia akan membantu guru Kemahiran Hidup mengemas dan menyusun kembali semua bahan dan peralatan yang digunakan ketika menjalani projek untuk subjek tersebut. Di sebelah petang semasa mengikuti aktiviti ko kurikulum Persatuan Tunas Putri, Lily dipilih oleh guru persatuan untuk turut  serta dalam perbarisan sukan sekolah. Ketika Lily menjalani latihan bersama rakan-rakannya dalam perbarisan, Lily kerap kali ditegur oleh ketua perbarisan kerana sering silap ketika  berkawat, ini menyebabkan latihan berkawat memakan masa yang panjang. Kemahiran berkawat memerlukan seseorang mempunyai pelbagai kecekapan seperti mendengar arahan, mengamati pergerakan dan bergerak secara serentak, nampaknya Lily perlu membuat latihan tambahan berbanding rakan-rakannya yang lain.
Lily kenapa air ni masin? jerit kakak Lily ketika mereka sekeluarga menikmati minum petang di ruang dapur rumah. Lily letak garam ke gula ni? kakak Lily berleter panjang apabila dia minum air yang dibancuh Lily dan terasa airnya masin seperti air laut. Lily bergegas melihat bekas gula dan bekas garam yang hampir sama bentuk dan diletakkan berdekatan. Lily buat silap lagi!  Kakak Lily membuang air yang dibancuh Lily dan dia membancuh air yang lain untuk mereka sekeluarga minum.

Lily berasa penat, kecewa dan hampir berputus asa membuat kerja rumah dan ketika di sekolah mengikuti pelajaran dan aktiviti ko kurikulum. Lily tertanya-tanya pada dirinya sendiri, kenapa dia sering membuat kesilapan.  Lily bukan di kategorikan seorang murid lembam atau ada kecacatan pada deria dan fizikal. Proses kelahiran dan pembesarannya adalah normal seperti kanak-kanak biasa yang lain. Malam itu Lily tidur lena kerana kepenatan. Keadaan yang dialami Lily sebenarnya dalam pemerhatian keluarga Lily yang amat menyayanginya, mereka tidak mahu Lily ketinggalan dalam pelbagai urusan di rumah dan juga di sekolah. Keluarga Lily bercadang hendak ke sekolah, untuk berbincang dengan guru Lily bagaimana mereka boleh membantu Lily supaya lebih cekap dan prihatin dengan persekitaran. 

Friday 10 June 2016

Kemahiran Pengamatan Penglihatan/Visual

Kanak-kanak dilahirkan berbeza dan unik dari segi keupayaan fizikal dan kognitif, keunikan dan perbezaan ini perlu dihargai dengan sebaiknya oleh ibu bapa dan para pendidik. Keupayaan fizikal dan kognitif kanak-kanak berkait rapat dengan kemahiran pengamatan, antara kemahiran yang diperlukan dalam proses pembelajaran kanak-kanak. Perbincangan dalam buku ini menumpukan kepada kebolehan kanak-kanak dalam menguasai kemahiran pengamatan diskriminasi penglihatan, perkataan penglihatan juga dikenali dengan visual. Pembinaan Kit Pengamatan Visual (KPV) bertujuan membantu kanak-kanak meningkatkan kemahiran pengamatan diskriminasi penglihatan melalui aktiviti memadan, mengkategori, melengkapkan, mencari benda tersembunyi dan mencari jalan pulang. Bahan yang digunakan dalam KPV berasaskan bahan utama yang terdiri daripada fabrik yang berwarna-warni. KPV menggalakkan kanak-kanak menghasilkan sendiri bahan untuk aktiviti pengamatan visual berdasarkan persepsi dan kreativiti kanak-kanak dengan bimbingan guru atau ibu bapa atau rakan-rakan. KPV mengandungi beberapa set bahan yang bercirikan konsep pembelajaran aktif dan didik hibur. KPV membolehkan kanak-kanak berinteraksi dengan bahan. Proses meningkatkan kemahiran pengamatan boleh berpusatkan kanak-kanak, jika kanak-kanak faham dan dapat menggunakan KPV secara maksima.  


Antara bahan KPV dan boleh digunakan pada bod Kopai Adik iaitu satu bod yang dibina khas untuk melaksanakan pelbagai aktiviti seperti melekat, menampal dan memadan


Jika ada yang berminat untuk mendapatkan Kit Pengamatan Visual (KPV) dan buku panduan KPV, dengan harga yang berpatutan sila contact :
Zaharilah-019 607 7220 atau
Nur Farhana-019 624 0109

Saturday 14 May 2016

Isu Pelabelan dan Pengasingan

Melabel murid pemulihan khas sebagai kumpulan murid yang lemah dalam akademik, bermasalah dari segi disiplin, tiada kepastian hala tuju dalam mengharungi kehidupan di masa hadapan, tidak boleh berdikari, tidak layak dilantik menjadi ketua atau pengawas sekolah dan pelbagai label negatif dilemparkan kepada golongan murid-murid yang berada dalam program pemulihan khas. Siapa yang suka melabel murid-murid pemulihan khas ni? 


 


Tuesday 10 May 2016

Teknik Pengulangan

Teknik pengulangan antara teknik yang popular diaplikasi semasa proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas pemulihan khas. Sebagai contoh dalam subjek Matematik dan Bahasa Melayu pemulihan khas, teknik pengulangan dijadikan rutin ketika proses pengukuhan isi kandungan atau ketika guru mengajar kemahiran baharu.

Proses pengulangan boleh dilaksanakan secara formal atau santai. Jika formal, bahan disediakan secara berstruktur, manakala jika secara santai aktiviti pengulangan boleh dibuat dengan menyanyikan lagu seperti lagu Rasa Sayang Hei Rasa Sayang Sayang Hei,atau lagu Bangau Oh Bangau, atau mengikut cikgu menyebut secara berulang-ulang sambil membuat pergerakan kinestatik yang menyeronokkan seperti "kalau kamu gembira tepuk tangan, kalau kamu gembira tepuk tangan, kalau kamu gembira katakan pada saya, kalau kamu gembira tepuk tangan", ketika menyanyi tepuk tangan, dan boleh juga laksanakan aktiviti berpantun yang menggunakan ayat berulang-ulang seperti "Dua tiga kucing berlari, mana nak sama si kucing belang, dua tiga sudah ku cari mana nak sama cik adik seorang" atau menggunakan watak kartun popular seperti Upin dan Ipin, yang menggunakan dialog secara berulang-ulang, secagai contoh perkataan yang sinonim dengan kedua watak adalah perkataan "betul betu[ betul



Saturday 7 May 2016

Sudut Pembelajaran Aktif

Saiz kelas memberikan kesan dalam perancangan guru untuk mengadakan aktiviti, dalam kesempitan saiz kelas yang hanya satu atau dua bay, guru masih bersemangat untuk menyediakan sudut pembelajaran dan memenuhi kelas dengan bahan bantu untuk mengajar. Cikgu Goghilavaani menyusun atur dengan kemas sudut untuk pembelajaran, aktiviti P&P dapat dilaksanakan dengan baik dan ada sudut yang boleh digunakan untuk pembelajaran aktif.


Pembelajaran aktif menjadikan kelas tidak membosankan

Pengurusan Tingkah Laku Murid

Pengurusan tingkah laku murid dalam kelas perlu dititik beratkan ini supaya pengajaran guru berjalan lancar berdasarkan perancangan guru. Pelbagai cara, teknik dan strategi yang guru boleh aplikasi dalam kelas untuk memastikan tingkah laku murid terkawal dan tidak mengganggu penyampaian P&P dalam kelas. Penggunaan 'token' yang dijadikan ganjaran amat berkesan terutama untuk murid-murid tahap satu. Penghargaan guru terhadap murid juga boleh membentuk tingkah laku murid, seperti yang dilakukan oleh cikgu Sumitha, memberikan hadiah kepada murid yang bertingkah laku baik iaitu murid yang memberikan sepenuh komitmen ketika P&P berlangsung, tidak mengganggu rakan-rakan lain yang sedang belajar dan penghargaan diberikan kepada murid yang dapat menyiapkan tugasan yang guru berikan dengan lengkap, kemas dan betul. 

Penghargaan yang diberikan guru boleh memotivasikan murid untuk belajar


BBM Maujud VS BBM ICT

Penggunaan bahan bantu mengajar (BBM) yang terdiri daripada bahan maujud dapat memberikan kesan yang positif dalam kalangan murid, penggunaan BBM maujud ini boleh memberikan rangsangan kepada murid untuk belajar. Bahan maujud yang digunakan ada di persekitaran murid, bahan yang boleh disentuh, bahan yang biasa untuk kegunaan harian dan bahan maujud berbentuk makanan pula, adalah makanan yang majoriti suka. Cikgu Prem memanipulasi bahan maujud untuk disesuaikan dalam P&P.


Penggunaan jeli dalam tajuk bahagi dalam subjek matematik, murid teruja untuk merasa dengan memegang jeli yang berkilat dan lembut, deria mata, deria bau dan sensori digunakan untuk belajar tajuk pecahan, wah! ini berkemungkinan akan diingat lebih lama oleh murid, sebab berdasarkan teori psikologi lagi banyak deria terlibat untuk P&P lebih lama ilmu yang dipelajari berada dalam ingatan


Tajuk pecahan disampaikan dengan menggunakan kad-kad yang dibentuk bulat dipotong untuk menunjukkan pembahagian, kad memang popular digunakan sebagai bahan bantu mengajar, kad mudah diperolehi, mudah diurus dan nak simpan pun mudah aje.

Selain penggunaan bahan maujud untuk merangsang murid dalam pengajaran dan pembelajaran, bahan pengajaran berbentuk ICT juga digunakan secara aktif dalam kelas, cuma yang menjadi kekangan guru adalah kemudahan LCD projector yang tidak semua kelas ada kemudahan tersebut. Guru perlu bijak mencari cara untuk menggunakan alat dan bahan ICT dalam menyampaikan P&P. Celik ICT memberikan alternatif kepada guru dalam proses menyampaikan isi kandungan pelajaran. Murid juga tidak bosan kerana guru mempelbagaikan BBM dalam penyampaian P&P.
 Seronok murid-murid cikgu Prem mendengar cerita sambil melihat video klip yang disediakan dalam bahagian set induksi P&P

Penggunaan bahan bantu mengajar dan pemberian token atau ganjaran dalam kelas adalah sesuatu yang subjektif untuk diperbincangkan. Kajian Zaharilah, Roslimah dan Nur Farhana yang dijalankan pada tahun 2015 bertajuk Grand Token Membantu Guru Menguruskan Tingkah Laku Murid Pemulihan, menunjukkan token yang dijadikan ganjaran dapat membantu memotivasikan murid untuk mengamalkan tingkah laku positif dalam kelas iaitu kehadiran penuh ke sekolah, menyiapkan tugasan yang diberikan dan aktif dalam kelas semasa P&P dilaksanakan.  


Profesionalisme Seorang Guru Pemulihan Khas

Profesion sebagai guru pemulihan khas amat tinggi cabarannya, guru perlu ada target iaitu berapa lama  guru boleh membantu  seseorang murid pemulihan khas dapat menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira. Kemungkinan kemahiran yang guru ada telah 'lapok', kurang relevan dengan kumpulan murid pemulihan khas yang perlu dibantu, apa nak buat ni?.

Takkan lah guru tidak bertindak! Sesuatu perlu dilakukan, apa tunggu lagi cikgu, contactlah rakan-rakan guru pemulihan dari merata sekolah di lain daerah, lain negeri dan dari pelbagai latar belakang pengalaman sebagai guru pemulihan khas, untuk berkongsi ilmu dengan mereka atau minta tunjuk ajar daripada rakan-rakan guru . Sedangkan satu negara dah heboh pasal peningkatan profesionalisme guru, daripada guru yang kurang ilmunya sepatutnya semakin meningkat dan guru yang profesional juga perlu update ilmu mengikut keadaan semasa. Barulah ada peningkatan profesionalisme guru.  

Ada alternatif lain selain dari contact kawan-kawan sesama guru pemulihan khas, yang ini kena rajin mencari, iaitu mencari peluang untuk menghadiri kursus-kursus yang ada kaitan sebagai seorang guru. Di mana nak berkursus untuk tujuan peningkatan profesionalisme?  

Peluang meningkatkan profesionalisme:
i. Kursus anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) , pilih lah mana-mana kursus yang sesuai, ini alamat portal INTAN: https://www.intanbk.intan.my/iportal/index.php/ms/. Pilih aje menu permohonan kursus.

ii. Ada kenalan di pusat pengajian atau institusi pendidikan? Di sana ada ramai pensyarah yang sudi berkongsi ilmu, cikgu buat sahaja surat rasmi kepada pusat pengajian atau institusi pendidikan tersebut mohon untuk dapatkan penceramah bidang yang cikgu berminat untuk pelajari.

iii. Kita sibuk teropong penceramah luar, sedangkan guru yang ada disekeliling kita pun apa kurang ilmu mereka. Jemputlah untuk buat Latihan Pembangunan Staf (LPS), terutama minta guru senior, yang memangnya otai dalam bidang-bidang Bahasa Melayu dan Matematik. Jangan terkejut ilmu yang mereka ada 'first class' sebab sambil memberikan ceramah mereka akan berkongsi pengalaman mereka dalam kelas mengendalikan P&P.

iv. Rajin-rajinlah keluar untuk menyertai seminar-seminar, menghadiri seminar ada yang percuma ada yang memerlukan kita membayar yuran. Tepuk dada tanya selera, jika nakkan ilmu duit memang perlu dikorbankan beberapa peratus, terutama seminar peringkat antarabangsa. Tetapi berbaloi, kita guru pemulihan khas,  tetapi apabila ke seminar kita akan berjumpa dengan pelbagai peserta seminar daripada pelbagai bidang, yang seronoknya ada idea daripada bidang yang berbeza ni boleh diguna pakai dalam kelas pemulihan khas kita cikgu! Contohnya semasa berseminar ada ahli terapi yang berkongsi idea bagaimana hendak mengurangkan tingkah laku negatif dalam kalangan murid-murid di sekolah.

v. Banyak isu, banyak masalah dalam kelas pemulihan khas kita, cikgu takkan nak hadapi masalah atau isu tersebut selama-lamanya! Apa nak buat ni? Begini kita buat kajian tindakan, ambil isu tersebut sebagai cabaran. Masa sedang bersendirian fikir dan catat apabila idea cikgu dah datang, iaitu idea cara mengatasi isu tersebut. Jika mengikut Model Kemmis Mc Taggart (1988) , iaitu antara puluhan model untuk membuat kajian, kita mulakan dengan tinjauan awal dahulu, tinjau ni sama dengan melihat lah, lihat, tengok apa isu dalam kelas pemulihan khas kita tu, dah tahu isunya kita rancang tindakan yang kita perlu ambil untuk mengatasi isu yang kita kesan tadi, seterusnya kita kena laksanakan tindakan dan kita perhatikan kesan daripada tindakan kita itu, setelah kita perhatikan kita tuliskan apa kesan yang kita telah lihat dan jadikan rujukan dan panduan sama ada tindakan kita berkesan atau tidak, penulisan refleksi kita itu sangat berguna kerana ia boleh membantu kita sebagai guru pemulihan khas mengetahui tindakan yang dibuat untuk mengatasi isu dalam kelas berkesan atau perlukan lagi tindakan lain atau tambah baik sahaja tindakan yang telah dilaksanakan.




Halangan Komunikasi Guru Pemulihan

Dalam pengurusan Program Pemulihan Khas, guru Pemulihan Khas menghadapi beberapa halangan semasa berkomunikasi dengan pelbagai pihak di sekolah & pihak ibu bapa. Antara sebab halangan komunikasi tersebut;

* Maklumat yang disampaikan atau diterima oleh guru pemulihan kurang lengkap.
* Guru Pemulihan Khas jarang bergaul dengan guru lain.
* Rakan guru kurang berminat terhadap Program Pemulihan Khas.
* Rakan guru kurang faham tanggungjawab dan peranan seorang guru Program Pemulihan Khas.
* Rakan guru tidak mengambil berat tentang Program Pemulihan Khas dan murid Pemulihan Khas.
* Maklumat yang disampaikan oleh guru Pemulihan Khas mengenai program pemulihan tidak mencukupi dan tidak lengkap.
* Guru Pemulihan Khas atau rakan guru terlalu banyak bebanan tugas sehingga tidak ada masa untuk berkomunikasi sesama rakan guru.
* Halangan komunikasi dengan ibu bapa murid terjadi kerana pengendalian program pemulihan khas kurang mesra dengan ibu bapa. Sehingga ada ibu bapa yang tidak tahu pun anak mereka ditempatkan dalam program pemulihan khas.
* Ibu bapa tidak atau kurang dilibatkan dalam program, acara dan aktiviti di sekolah, walaupun anak-anak mereka mengambil bahagian.

Ada ibu bapa yang seronok melaksanakan aktiviti P&P bersama anak-anak mereka atau turut membantu guru mengendalikan aktiviti dalam kelas, cubalah jemput ibu bapa....

Persepsi Pihak Sekolah Terhadap Tugas Guru Pemulihan

Terdapat beberapa isu  yang timbul semasa guru pemulihan khas melaksanakan program pemulihan & isu yang timbul itu adakalanya menyebabkan guru semakin kurang bermotivasi mengendalikan program pemulihan khas di sekolah. 

Pihak pengurusan sekolah telah mempunyai persepsi terhadap tugas seorang guru pemulihan khas, yang dikatakan tidak banyak tugas dan kurang mencabar seperti mana guru aliran arus perdana. Persepsi ini berlandaskan bilangan murid dalam kelas pemulihan, kerana peraturan yang telah ditetapkan maksima murid pemulihan khas seramai 15 orang mengikuti program pemulihan khas secara withdrawal system, iaitu  ketika waktu mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik berlaku proses penarikan keluar murid pemulihan khas ke program pemulihan khas yang dilaksanakan dalam bilik pemulihan khas oleh guru pemulihan khas.

Akibat daripada bebanan tugas sekolah yang terlalu banyak, kadang-kala tugas guru pemulihan banyak yang tergendala, apabila banyak kerja yang tergendala, tugas dalam kelas pemulihan secara langsung akan turut terganggu dan terjejas. Pada kebiasaannya guru pemulihan yang paling kerap diberikan kelas ganti kerana guru tidak hadir. Akibatnya, guru pemulihan mengalami banyak gangguan dalam melaksanakan tugasnya selaku guru pemulihan untuk membantu murid mengatasi masalah penguasaan kemahiran 3M. Tugas selaku guru pemulihan khas yang tidak berjalan lancar ini dipandang serong oleh pihak pengurusan sekolah, yang beranggapan guru pemulihan tidak menjalankan tugas dengan dedikasi. Tanggapan negatif pihak pengurusan sekolah menyebabkan guru pemulihan semakin kurang bermotivasi untuk aktif melaksanakan kerja-kerja pemulihan untuk murid-murid yang telah dikenal pasti sebagai murid pemulihan khas.

Isu murid yang bermasalah disiplin dan kemerosotan prestasi akademik ditempatkan dalam program pemulihan khas juga menjadi beban kepada guru pemulihan khas. Jalan penyelesaian pihak sekolah ialah menempatkan murid tersebut dalam kelas pemulihan hal ini menyebabkan guru pemulihan kurang bermotivasi untuk melaksanakan P&P yang berkesan dalam program pemulihan. Isunya kerana murid bermasalah disiplin dan kemerosotan prestasi akan mengganggu perjalanan P&P dalam kelas pemulihan, perancangan P&P yang dibuat oleh guru pemulihan tidak dapat dilaksanakan mengikut perancangan.

Isu penempatan murid pendidikan khas masalah pembelajaran dalam program pemulihan khas juga turut menyebabkan guru kurang bermotivasi untuk melaksanakan tugas selaku guru pemulihan khas yang berkesan. Setelah murid disaring ada murid yang tidak sesuai ditempatkan dalam program pemulihan khas, murid ini adalah murid yang ada ciri-ciri murid pendidikan khas masalah pembelajaran, tetapi atas desakan pihak ibu bapa yang bertegas tidak mahu anak mereka ditempatkan ke program pendidikan khas integrasi (PPKI), murid tersebut dimasukkan ke program pemulihan khas, hal ini boleh menjejaskan P&P yang dirancang kerana murid PPKI ini ada yang bermasalah tingkah laku yang memerlukan perhatian yang lebih, sedangkan masa untuk guru pemulihan khas membantu murid dalam kemahiran 3M amat terhad dalam waktu mata pelajaran  Bahasa Melayu dan Matematik sahaja.

Isu tidak ada bilik khas untuk melaksanakan program pemulihan, antara penyebab guru pemulihan khas tidak bermotivasi. Bahan bantu mengajar dan dokumentasi untuk menyimpan rekod pelajar amat dititik beratkan dalam program pemulihan khas, kerana ia boleh merangsang murid untuk lebih memahami apa yang guru sampaikan dan sistem dokumentasi untuk merekod biodata murid dan prestasi murid. Guru pemulihan khas perlu membina, menyedia dan menggunakan bahan bantu mengajar untuk membantu murid pemulihan menguasai 3M. Bahan-bahan ini lebih efektif diletakkan dalam kelas sebab ia kerap digunakan, manakala dokumentasi adalah bahan yang perlu disediakan secara sistematik dan disimpan dengan kemas untuk memudahkan guru mendapatkan dokumen tersebut untuk dirujuk. Guru pemulihan khas juga perlu menyimpan secara sistematik dan selamat semua bahan dan dokumen berkaitan dengan program pemulihan khas kerana pihak PPD, JPN dan Jemaah Nazir akan datang untuk memantau program pemulihan khas, dokumen tersebut merupakan bukti yang perlu ditunjukkan.

Isu kurang sokongan daripada pihak pengurusan sekolah, PPD, JPN dan ibu bapa sendiri menyebabkan kurangnya motivasi guru pemulihan khas, ini tidak disedari oleh pihak pengurusan sekolah. Pentadbir biasanya menilai prestasi seseorang guru berdasarkan tugas yang dilaksanakan, tetapi kebajikan guru pemulihan kurang diberi perhatian. Sokongan yang diperlukan ialah bahan untuk membina bahan bantu mengajar, bilik khas untuk menjalankan program pemulihan khas, kelengkapan dalam bilik khas seperti papan putih, kerusi, meja, LCD projektor, kipas, keluasan kelas 2 atau 3 bay dan bahan-bahan rujukan. Ibu bapa perlu membantu guru melaksanakan pemulihan 3M dengan membuat tindakan susulan di rumah, pastikan murid hadir ke sekolah dan menjaga kebajikan anak-anak mereka dari segi perbelanjaan makan minum di kantin, buku dan bahan-bahan lain yang diperlukan untuk P&P murid. PPD dan JPN perlu datang memantau pelaksanaan program, dan berkongsi idea dalam peningkatan prestasi murid. Guru pemulihan sepatutnya ditawarkan mengikuti kursus berkaitan pengurusan tingkah laku, strategi pengajaran bahasa Melayu dan matematik dan dihantar berkursus untuk LINUS2.0 dan peningkatan kemahiran pengamatan, guru kurang bermotivasi kerana pihak pentadbir sering memperlekehkan program pemulihan kerana ia berkaitan masalah murid yang lemah dan peluang untuk guru berkursus untuk peningkatan profesionalisme juga amat sedikit. 

Guru pemulihan yang proaktif, menghadiri kursus untuk perkongsian idea membina bahan bantu mengajar yang pelbagai & dapat menarik perhatian murid pemulihan untuk terus mengikuti P&P dengan jayanya

Thursday 5 May 2016

Persoalan yang biasa ditanya berkaitan murid pemulihan

Mengapakah murid pemulihan khas tidak ditempatkan di kelas khas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) ?

Jawapan hasil perbincangan:
* Murid pemulihan khas dimasukkan ke dalam Program Pemulihan Khas bukan disebabkan oleh kecacatan, tetapi oleh kerana kegagalan mereka menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).

*Penempatan ke Program PPKI juga memerlukan pengesahan pegawai perubatan. Sedangkan penempatan ke program pemulihan sekadar pencalonan di peringkat sekolah sahaja dan merujuk hasil analisis terhadap ujian saringan yang diadakan.









Wednesday 20 April 2016

Pembelajaran Koperatif



Pembelajaran secara koperatif boleh diaplikasi dalam kelas. Sama ada kelas aliran perdana, kelas pemulihan khas atau dilaksanakan dalam bilik kuliah IPG atau IPTA dan IPTS.
Kelebihan pembelajaran koperatif guru/pensyarah dapat melibatkan majoriti pelajar. Galery Tour salah satu cara pembelajaran koperatif. Dalam kumpulan setiap ahli mencari bahan dan menyiapkan tugasan yang telah diberi, tampalkan di galery kumpulan masing-masing, beri masa kepada setiap kumpulan untuk melawat galery semua kumpulan. Pergerakan kumpulan dari satu galery ke satu galery ditetapkan masa. Sambil melawat galery yang sarat dengan maklumat, pelawat boleh menambah point yang tertinggal atau memberikan pendapat dengan menulis di satu ruang yang disediakan. Tiada ahli yang hanya memandang dan membisu seribu bahasa. Setiap ahli perlu memberikan pendapat, membaca setiap maklumat & catatkan bahan rujukan. 


Tuesday 19 April 2016

Terapi untuk melegakan kanak-kanak...

Terapi untuk memberikan kelegaan, keseronokkan dan keyakinan diri. Mulakan dengan aktiviti yang mudah seperti bermain pasir halus di tepi pantai, diikuti dengan menggunakan pelampung dan seterusnya mandi dengan gembira.



Saturday 16 April 2016


Latihan Kemahiran Pengamatan Visual

Kemahiran Pengamatan Visual (KPV) dapat dilatih dengan pelbagai bahan, bahan yang berwarna warni menarik minat adik Fatin seorang kanak-kanak sindrom down untuk turut serta beraktiviti. Adik beradik Fatin yang turut sama berada bersama semasa aktiviti dilaksanakan, turut dapat memotivasikan Fatin menjalankan aktiviti KPV. Fatin seorang yang tabah, berusaha menyiapkan padanan kereta mengikut warna. Syabas!  

Aplikasi Terapi Semasa P&P

Terapi boleh diaplikasi ketika guru sedang melangsungkan P&P, masa yang sesuai untuk melaksanakan terapi adalah jika kelihatan murid-murid nampak bosan membaca berulang kali, menulis perkataan yang sama sehingga hampir penuh satu ke tiga muka surat buku tulis. Menjadi fitrah kanak-kanak suka bermain, terapi yang diaplikasi dalam bilik pemulihan lebih menjurus kepada terapi bermain, untuk mengurangkan rasa bosan murid. Bermain permainan indoor yang mudah diurus, mudah digunakan dan mudah dikemas semula. Guru pemulihan juga ada tugas lain yang sedia menanti, menggunakan permainan yang kurang masa untuk menguruskannya lebih praktikal.




Penggunaan getah besar atau dikenali sebagai getah posman juga antara terapi psikomotor halus yang sesuai untuk mengurangkan rasa tekanan murid-murid menjalani aktiviti P&P.
Langkah-langkah aktiviti terapi bermain getah :
i.  Setiap orang murid diberikan getah besar.
ii. Guru menunjukkan bagaimana menyelitkan getah besar dijari jemari pada murid-murid.
iii.Guru menarik getah besar ke atas ke bawah sepanjang yang boleh, tarikan getah bergantung pada keupayaan seseorang untuk menrik getah tanpa menyakitkan jari jemari.
iv. Setelah aktiviti difahami murid, guru memasang lagu yang sesuai dengan kanak-kanak dan membuat aktiviti menarik getah ke atas, ke bawah, ke kiri ke kanan berulang kali.
v.Terapi psikomotor halus menggunakan getah besar boleh dilaksanakan dalam keadaan guru dan murid duduk di tempat belajar.
vi.Jika terapi menggunakan getah besar hendak dilaksanakan secara berdiri, pergerakan boleh ditambah dengan melibatkan psikomotor kasar, iaitu bergerak secara berpusing ke kiri dan ke kanan sambil getah ditarik ke kiri ke kanan ke atas dan ke bawah.
vii.Lagu iringan yang dipasang akan menyeronokkan aktiviti menggunakan getah besar, terapi bermain getah besar ini boleh dilaksanakan sesingkat tiga ke lima minit.