Saturday 10 September 2016

Lily
Setiap pagi pastinya Lily kelam-kabut ketika hendak ke sekolah. Pagi tu sebelum ke sekolah Lily baru nak ikut jadual waktu, menseterika baju sekolah, mandi dan bersarapan. Sempat ke? pastinya tak sempat! Apabila tak sempat Lily menangis teresak-esak minta bantuan adik beradiknya yang lain. Marahlah kakak dan abang Lily, sebab mereka pun hendak bersiap untuk ke sekolah. Berbeza dengan kakak dan abang Lily yang telah bersiap sedia di sebelah malam untuk persiapan ke sekolah. Lily sering bertangguh untuk membuat persediaan ke sekolah di sebelah malam, Lily membuat anggapan dia sempat menyediakan keperluan dan menguruskan dirinya pada sebelah pagi, tetapi ternyata sangkaannya meleset sama sekali. Lily sempat mandi dan mengikut  jadual waktu tetapi tidak sempat untuk menseterika baju dan bersarapan.
Ketika menaiki bas untuk ke sekolah Lily sering hampir tersungkur di tangga bas sekolah. Kakak Lily cepat-cepat akan menarik tangan Lily untuk mengelak Lily daripada terjatuh. Lily memberitahu kakaknya bahawa dia pasti telah memijak anak tangga yang betul, tetapi apabila dia melangkah naik tangga bas, dia sendiri tidak pasti kenapa dia tidak memijak pada anak tangga yang sepatutnya.
Mata pelajaran yang paling diminati Lily adalah Kemahiran Hidup. Ketika membuat aktiviti membuat rak buku kecil, Lily bersungguh-sungguh mengergaji dan memaku rak buku yang dibinanya. Lily seorang yang ringan tulang, dia akan membantu guru Kemahiran Hidup mengemas dan menyusun kembali semua bahan dan peralatan yang digunakan ketika menjalani projek untuk subjek tersebut. Di sebelah petang semasa mengikuti aktiviti ko kurikulum Persatuan Tunas Putri, Lily dipilih oleh guru persatuan untuk turut  serta dalam perbarisan sukan sekolah. Ketika Lily menjalani latihan bersama rakan-rakannya dalam perbarisan, Lily kerap kali ditegur oleh ketua perbarisan kerana sering silap ketika  berkawat, ini menyebabkan latihan berkawat memakan masa yang panjang. Kemahiran berkawat memerlukan seseorang mempunyai pelbagai kecekapan seperti mendengar arahan, mengamati pergerakan dan bergerak secara serentak, nampaknya Lily perlu membuat latihan tambahan berbanding rakan-rakannya yang lain.
Lily kenapa air ni masin? jerit kakak Lily ketika mereka sekeluarga menikmati minum petang di ruang dapur rumah. Lily letak garam ke gula ni? kakak Lily berleter panjang apabila dia minum air yang dibancuh Lily dan terasa airnya masin seperti air laut. Lily bergegas melihat bekas gula dan bekas garam yang hampir sama bentuk dan diletakkan berdekatan. Lily buat silap lagi!  Kakak Lily membuang air yang dibancuh Lily dan dia membancuh air yang lain untuk mereka sekeluarga minum.

Lily berasa penat, kecewa dan hampir berputus asa membuat kerja rumah dan ketika di sekolah mengikuti pelajaran dan aktiviti ko kurikulum. Lily tertanya-tanya pada dirinya sendiri, kenapa dia sering membuat kesilapan.  Lily bukan di kategorikan seorang murid lembam atau ada kecacatan pada deria dan fizikal. Proses kelahiran dan pembesarannya adalah normal seperti kanak-kanak biasa yang lain. Malam itu Lily tidur lena kerana kepenatan. Keadaan yang dialami Lily sebenarnya dalam pemerhatian keluarga Lily yang amat menyayanginya, mereka tidak mahu Lily ketinggalan dalam pelbagai urusan di rumah dan juga di sekolah. Keluarga Lily bercadang hendak ke sekolah, untuk berbincang dengan guru Lily bagaimana mereka boleh membantu Lily supaya lebih cekap dan prihatin dengan persekitaran.