Sunday 29 March 2015

Bersama Kanak-kanak Pendidikan Khas di Kuala Banda Aceh


Bengkel Membina Bahan Bantu Mengajar

Bahan bantu mengajar diperbuat daripada tiga jenis fabrik:

i.     Fabrik bermotif
ii.    Fabrik bergam
iii.   Fabrik flannel

Fabrik adalah bahan utama membina 'Kopai Adik" yang dijadikan tapak untuk menjalankan aktiviti hands-on/

Fabrik bermotif dijadikan bahan untuk pengisian kurikulum pendidikan pemulihan




Contoh: Memadankan warna kereta yang sama warna dan bentuk, kereta tersebut adalah daripada fabrik yang digunting. Tujuan saya menggunakan fabrik, kerana material daripada fabrik jika dipegang akan rasa kesat, dilekatkan kepada fabrik bergam untuk memudahkan kanak-kanak khas memegang, dan memudahkan mereka menggunting.


Contoh: Fabrik flannel digunting pelbagai bentuk antaranya empat segi sama, bulat, tiga segi, empat segi tepat dan separuh bulatan, kanak-kanak diminta memadankan, bahan-bahan dilamined supaya bentuk dipadan menggunakan pen papan putih dan kemudian ianya boleh dipadam, tujuannya bahan boleh digunapakai oleh murid-murid lain.



Kepelbagaian Kompetensi Murid Pemulihan Khas

Kompetensi Kendiri


Kompetensi kendiri bermaksud bagaimana seseorang individu itu dapat menguruskan dirinya sendiri:

i. Kesedaran Kendiri

Kecerdasan emosi yang paling asas adalah keupayaan menyedari satu-satu perasaan  dan dapat memberikannya identifikasi tertentu. Aras ini juga merujuk kepada kesedaran hubungan antara buah fikiran, perasaan dan  tindakan. Individu sedar berkenaan pemikiran jenis apa yang merangsang perasaannya. Tambahan lagi kesedaran adalah perasaan yang akan terbit akibat daripada satu-satu tindakan itu. Paling penting, kita menyedari apakah emosi kita pada waktu ini dan bagaimana emosi itu dapat membantu kita membuat keputusan yang tepat dan bijak. Kesedaran kendiri melibatkan kepercayaan dan keyakinan pada diri. Guru pemulihan yang bersikap prihatin akan perasan emosi seseorang murid pemulihan, kerana biasanya emosi murid pemulihan akan terpancar daripada wajahnya seperti:



Emosi gembira






      Emosi sedih






       Emosi rasa tertekan







       Emosi geram/marah!






ii. Pengurusan Kendiri



Kita mempunyai peluang yang amat terhad untuk mengawal emosi yang menguasai diri. Kemampuan kita juga agak terbatas untuk menentukan emosi yang akan menguasai kita. Emosi datang tanpa diundang kerana bila-bila sahaja emosi boleh muncul tanpa direncana. Namun apa yang boleh dilakukan ialah dengan menentukan emosi yang menguasai kita itu hanya sementara sahaja. Kita boleh menentukan berapa lama emosi itu akan menguasai diri kita. Emosi marah akan menjadi aktif dan bertindak dengan cepat sekali tanpa diduga apabila terdapat rangsangan emosi seperti apabila ego kita dicabar,keselamatan kita diancam ataupun keupayaan atau hak kita dirampas ataupun dinafikan. Jika emosi negatif ini tidak dibendung dengan segera maka ia akan membawa mudarat. Maka beberapa kemahiran boleh dipraktikkan, seperti memikir kembali rangsangan emosi tadi, mencabar fikiran yang mencetuskan emosi marah itu dan mengalih tumpuan masalah. Seseorang yang mampu mengurus emosinya boleh dikira mempunyai sebahagian kecerdasan emosi. Guru pemulihan boleh membantu murid pemulihan menguruskan emosi yang menguasai diri seperti tidak cepat putus asa jika masih tidak dapat menguasai kemahiran 3M.










Walaupun sedikit sahaja kemahiran yang dikuasai oleh murid pemulihan tetapi pujian yang diberikan guru dapat meredakan emosi murid pemulihan yang kurang gembira, malahan dapat meningkatkan motivasi murid



iii. Motivasi kendiri


Motivasi adalah satu dorongan yang menyebabkan seseorang bertindak atas kehendak mereka sendiri. Setiap individu bertanggungjawab memotivasikan diri mereka sendiri, orang lain hanyalah sebagai perangsang.






Guru pemulihan boleh mendorong murid pemulihan untuk menghargai hasil kerja mereka sendiri, dokumenkan secara sistematik semua hasil kerja murid dan minta murid pemulihan melihat sendiri hasil kerja mereka dari semasa ke semasa untuk membuat perbandingan peningkatan prestasi.



2. Kompetensi Sosial

i. Kesedaran Sosial

Kesedaran sosial bermaksud seseorang individu itu sedar mengenai perasaan, kemahuan dan perihal orang lain. 

Melibatkan keupayaan yang dimiliki oleh murid pemulihan: 

1. Rasa empati 










Dapat merasai dan memahami perasaan emosi yang ditanggung oleh orang lain, rasa empati yang dimiliki akan menjadikan murid pemulihan bersikap lebih prihatin dan tidak menimbulkan masalah kepada keluarga dan pihak sekolah dari segi disiplin


2. Membangun individu lain




Jika murid pemulihan telah dapat menguasai kemahiran 3M, mereka sudi untuk berkongsi bersama rakan-rakan dalam program pemulihan, gaya belajar mereka supaya rakan mereka turut sama dapat menguasai kemahiran 3M



3.   Kesedaran organisasi 










Memahami peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah, akur jadual waktu yang telah ditetapkan, murid pemulihan sendiri akan ke bilik khas pemulihan pada waktu mata pelajaran bahasa Melayu dan matematik



4. Berorientasikan perkhidmatan












Guru pemulihan sedaya upaya menyedarkan murid pemulihan peranan guru untuk membimbing murid pemulihan sehingga dapat menguasai kemahiran 3M, peranan guru perlukan kerjasama murid & ibu bapa murid pemulihan


5. Melayani kepelbagaian
















Selain perlu menguasai kemahiran 3M, kepelbagaian kebolehan murid juga diambil kira untuk peningkatan perkembangan pembelajaran murid ,guru boleh membuat penilaian kebolehan pelbagai murid berdasarkan pemerhatian ketika aktiviti p&p dilaksanakan dalam kelas


ii. Kemahiran Sosial


Kemahiran sosial bermaksud seseorang individu itu dapat menyesuaikan dirinya dalam sesuatu situasi dan menginginkan tindak balas daripada orang lain.

Melibatkan keupayaan yang dimiliki oleh murid pemulihan: 

1.        Kepimpinan berinspirasi
2.        Komunikasi
3.        Pengaruh
4.        Pemangkin perubahan 


3. Pembentukan Sikap

Faktor Membina Sikap Positif Murid 


i. Pengalaman manis kerana mendapat kejayaan. 


Guru memberikan token yang dapat meningkatkan lagi semangat  murid untuk terus berusaha, memberikan pujian kepada murid pemulihan di kelas aliran biasa supaya murid pemulihan berasa diri mereka juga dihargai di hadapan rakan-rakan satu kelas. Menjemput ibu bapa ke sekolah untuk berkongsi kejayaan murid dapat menguasai kemahiran 3M.










ii. Sentiasa mendapat dorongan dan pujian daripada keluarga, guru dan rakan sebaya.


Faktor dorongan dan pujian tidak boleh diabaikan, murid pemulihan yang sentiasa mendapat kata-kata semangat dan diberi pujian ketika mereka dapat menyudahkan tugasan yang diberi dengan kemas, berdisiplin dan dapat bergaul dengan rakan-rakan secara baik, akan mengekalkan sikap positif tersebut.


iii. Pencapaian akademik yang memberangsangkan.

Membawa murid-murid pemulihan menyertai kem pembelajaran,  supaya mereka bergaul dengan murid-murid lain dengan cara ini dapat mendorong keinginan murid pemulihan untuk mencapai akademik yang memberangsangkan. 


iv. Keadaan sosioekonomi keluarga yang membuatkan murid berasa selesa dan senang dengan kehidupannya. 


Menyakinkan murid keluarga sangat penting, murid pemulihan perlu menerima seadanya kehidupan bersama keluarga, tidak bersikap terlalu meminta-minta, bersikap berjimat-cermat dan bangga mempunyai keluarga yang dapat memberikan perlindungan kepada mereka.


v. Matlamat yang ditetapkan sesuai dengan tahap murid, membolehkan murid mencapai matlamat yang diharapkan. 


Matlamat yang hendak di capai sesuai dengan keupayaan murid. Menyediakan pelbagai bentuk bahan yang dapat merangsang murid untuk dapat menguasai kemahiran 3M seperti bahan bantu maujud, bahan-bahan berasaskan teknologi maklumat, yang boleh memberikan kepelbagaian bahan dan aktiviti pembelajaran kepada murid . 












Guru sentiasa memberikan pujian dan dorongan  kepada murid pemulihan 



Bimbingan Berterusan daripada Guru 


i. Guru mengelolakan aktiviti yang bersesuaian dengan minat murid bagi membentuk sikap kendiri positif. Mengadakan bengkel pembelajaran secara aktif, guru menggunakan pelbagai aktiviti dan bahan yang berunsurkan inovasi dan kreatif yang dapat mengekalkan minat murid untuk terus mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam kelas pemulihan.


ii. Menekankan penerapan nilai-nilai murni dalam pendidikan moral dan agama. Menghasilkan murid yang berdisiplin dan bersahsiah, menghormati ibubapa, guru, rakan-rakan  dan masyarakat. 

 
iii. Menggalakkan murid menyertai kem bina semangat bagi meningkatkan daya ketahanan diri murid. Membina diri murid yang tabah dengan pelbagai dugaan dalam mencapai matlamat untuk menguasai kemahiran 3M. Membina sahsiah diri murid yang kuat keazaman diri untuk berjaya.

iv. Mengadakan kem motivasi bagi murid yang mempunyai keyakinan diri yang rendah. Menjadikan murid pemulihan lebih berkeyakinan bercakap di khalayak ramai, berani tampil untuk menyuarakan pendapat dalam kelas, tidak ragu-ragu pada kebolehan diri sendiri dan boleh hidup dalam masyarakat secara berdikari.


v. Gunakan ganjaran dan pujian untuk menunjukkan perhargaan terhadap hasil yang dilakukan oleh murid. Ekonomi token boleh digunakan oleh guru untuk menaikkan semangant murid mencapai kemahiran 3M dan dapat menggalakkan murid sentiasa menghadiri kelas pemulihan, murid juga akan berasa diri dihargai oleh guru dan rakan-rakan di sekolah. Hubungan guru dan murid menjadi mesra dan ini memudahkan guru menyampaikan pengajaran. 


Dunia Pendidikan Tanpa Sempadan 

Bengkel Membina Bahan Bantu Mengajar 

Mengadakan bengkel membina BBM di Universitas Syiah Kuala Banda Aceh pada 16 Mac 2015, turut serta bersama sembilan anak-anak siswa guru IPGKRM dalam pelbagai opsyen dan sekumpulan pensyarah IPGKRM dan para sukarelawan.





Siswa guru jika diberikan pengisian yang sesuai mereka amat aktif, kreatif malahan dapat menghasilkan bahan bantu mengajar yang berunsur inovatif ! yang perlu kita sediakan ialah peluang........

ISU DAN TRENDA DALAM PENDIDIKAN PEMULIHAN - 9

Komunikasi 

            1.        Halangan Komunikasi guru Pemulihan Khas dan rakan guru.

Persepsi rakan guru terhadap guru pemulihan yang mengandaikan tugas guru pemulihan tidak mencabar dan berasa selesa dengan bilangan murid yang sedikit.
Pendedahan berkaitan ilmu, kemahiran dan murid pemulihan yang tidak dikuasai oleh guru-guru biasa membuatkan perkongsian maklumat tidak dapat disampaikan dengan baik.

Sikap guru pemulihan khas sentiasa berada di bilik khas, kurang bersosial dengan rakan guru di bilik guru juga akan menjurangkan komunikasi antara guru pemulihan dan guru-guru lain di sekolah.

            2.        Halangan komunikasi sekolah dengan ibu bapa

Pihak sekolah tidak dapat memberikan penjelasan berkaitan kelemahan yang dihadapi murid, kepada ibu bapa kerana kurang arif berkaitan hal Pemulihan Khas, dan maklumat murid berkenaan yang kebiasaannya dilakukan oleh guru pemulihan khas tidak ada pada pihak pengurusan sekolah dengan lengkap.
Ibu bapa yang tidak mementingkan pendidikan anak-anak mereka  tidak berusaha untuk mengetahui perkembangan dan cara menangani masalah dihadapi anak mereka.
Penerimaan ibu bapa mengenai perkembangan anak mereka yang memerlukan pemulihan dalam penguasaan 3M adalah kurang memberangsangkan dan mereka tidak selesa apabila anak mereka perlu memasuki kelas pemulihan khas.

Tidak menghadiri perjumpaan antara ibu bapa dan guru untuk mendapat maklumat berkaitan prestasi anak-anak di sekolah.



ISU DAN TRENDA DALAM PENDIDIKAN PEMULIHAN - 8

Peranan Pengurusan Sekolah dalam tindakan susulan dalam Program Pendidikan Pemulihan

i.Memastikan Jawatankuasa Pemulihan Khas sekolah ditubuhkan dan mempengerusikan Jawatankuasa Program Pemulihan Khas.

ii.Mengenalpasti dan mencalonkan guru pemulihan khas yang terdiri daripada guru terlatih yang mempunyai latihan khusus dalam bidang Pemulihan Khas.

iii.Memastikan Guru Pemulihan Khas dilantik oleh Jabatan Pelajaran Negeri.

iv.Sekiranya tiada guru pemulihan, maka guru besar perlu melantik seorang guru yang menepati kriteria sebagai guru Pemulihan Khas.

v.Sekiranya berlaku kekosongan jawatan Guru PemulihanKhas, (seperti melanjutkan pelajaran, cuti bersalin dan menunaikan haji) Guru Besar perlu melantik seorang guru terlatih dan mengikut prosedur.

vi.Sebarang urusan pertukaran Guru Pemulihan Khas (opsyen/sekolah) mestilah mendapat persetujuan Jabatan Pendidikan Negeri terlebih dahulu.

vii.Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT), guru bermasalah kesihatan, guru bermasalah disiplin, guru kontrak, guru pool tidak boleh dilantik sebagai GPKhas. 

ISU DAN TRENDA DALAM PENDIDIKAN PEMULIHAN - 7

Peranan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD)/Pegawai Pendidikan Gabungan (PPG) Dalam Tindakan Susulan:

i. Memastikan Semua sekolah rendah diperuntukkan satu jawatan Guru Pemulihan Khas (GPKhas) dan mereka tidak termasuk dala mperkiraan peruntukan guru asas seperti dalam kelayakan peruntukan guru.

ii. Memastikan Jawatankuasa Program Pemulihan Khas berfungsi sepenuhnya.

iii. Memastikan guru-guru pemulihan khas melaksanakan Program Pemulihan Khas dengan berkesan.

iv. Menjadikan Program Pemulihan Khas sebagai agenda utama dalam sasaran kerja tahunan (SKT).

v. Memastikan semua guru besar memahami prosedur pelaksanaan Program Pemulihan Khas.

vi. Membuat unjuran untuk mengurangkan murid yang belum menguasai kemahiran 3M di peringkat daerah.

 vii. Memberi penekanan agar guru besar memastikan pengajaran dan pembelajaran pemulihan di dalam kelas biasa dijalankan di  sekolah masing-masing.

                           

ISU DAN TRENDA DALAM PENDIDIKAN PEMULIHAN - 6

Peranan Jabatan Pendidikan Negeri


Jabatan Pendidikan Negeri antara pihak yang amat penting memainkan peranan dalam pengurusan tindakan susulan untuk progarm pendidikan pemulihan. Pengurusan dan pentadbiran JPN diketuai oleh Pengarah Pendidikan dan dibantu oleh seorang Timbalan Pengarah Pendidikan. Terdapat sepuluh sektor di JPN. Ia diketuai oleh seorang Ketua Sektor yang berperanan untuk menyelaraskan program dan aktiviti bagi fungsi utama di sektor masing-masing. Sektor-sektor tersebut adalah seperti berikut:

1.         Sektor Pengurusan Akademik
2.         Sektor Pengurusan Sekolah
3.         Sektor Pembangunan Kemanusiaan
4.         Sektor Khidmat Pengurusan dan Pembangunan
5.         Sektor Pendidikan Islam
6.         Sektor Penilaian dan Peperiksaan
7.         
Sektor Pendidikan Khas dan Pendidikan Swasta 
            (Program Pemulihan Khas terletak di bawah sektor ini)
8.         Sektor Jaminan Kualiti
9.         Sektor Pengurusan Maklumat dan ICT
10.       Sektor Psikologi dan Kaunseling

JPNS juga menyelaraskan pengurusan dan pentadbiran sepuluh buah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang diketuai oleh seorang Pegawai Pendidikan Daerah, peranan JPN:-



 i. Memastikan semua sekolah rendah diperuntukkan satu jawatan Guru Pemulihan Khas (GPKhas) dan mereka tidak termasuk dalam perkiraan peruntukan guru asas seperti dalam kelayakan peruntukan guru.

ii. Memastikan Jawatankuasa Program Pemulihan Khas Negeri ditubuhkan dan berfungsi sepenuhnya. 

iii. Memastikan guru-guru pemulihan khas di negeri melaksanakan Program Pemulihan Khas dengan berkesan. 

iv. Menjadikan Program Pemulihan Khas sebagai agenda utama dalam sasaran kerja tahunan (SKT) JPN. 

v. Memastikan semua guru besar / pentadbir memahami prosedur pelaksanaan Program Pemulihan Khas. 

vi. Membuat unjuran untuk mengurangkan murid yang belum menguasai kemahiran 3M di peringkat negeri. 

vii. Memberi penekanan agar guru besar memastikanpengajaran dan pembelajaran pemulihan di dalam kelas biasa dijalankan di sekolah masing-masing. 

viii. Memastikan guru-guru Pemulihan Khas dilantik oleh Pengarah Pelajaran Negeri. 

ix. Menjalankan pemantauan secara berkala di Program Pemulihan Khas. 

ISU DAN TRENDA DALAM PENDIDIKAN PEMULIHAN - 5

Pengawasan dan Penyeliaan

Peranan Nazir

Tindakan susulan iaitu pengawasan dan penyeliaan oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) sebagai badan pemastian standard Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat memainkan peranan yang penting dalam memastikan kualiti pendidikan di Malaysia berada dalam tahap yang disasarkan.  

Peranan ini perlu dilaksanakan secara optimum bagi memastikan semua usaha KPM dalam mencapai aspirasi sistem pendidikan negara berada pada landasan yang sepatutnya, khususnya di peringkat sekolah. Pengawasan dan penyeliaan oleh  Nazir dan Jaminan Kualiti tidak terkecuali juga untuk program pemulihan di sekolah. 


Penegasan mengenai peranan ini sebagaimana yang dicatatkan dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) di bawah subseksyen 117(a) yang memperuntukkan tanggungjawab kepada Ketua Nazir Sekolah untuk memastikan taraf pengajaran yang memuaskan diwujudkan dan dikekalkan di institusi pendidikan. Peranan Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti:-

i.       Merancang dasar dan operasi Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti bagi memastikan taraf pengajaran yang memuaskan diwujudkan dan dikekalkan di institusi pendidikan.
ii.       Bertanggungjawab, dengan kerjasama mana-mana pihak berkuasa yang dilantik oleh Menteri Pelajaran bagi memastikan bahawa taraf pengajaran yang memuaskan diwujud dan dikekalkan di institusi pendidikan.
iii.      Memeriksa institusi pendidikan atau menyebabkan institusi pendidikan diperiksa oleh Nazir Sekolah pada tempoh yang difikirkan sesuai.
iv.      Menjalankan apa-apa kewajipan lain berhubungan dengan pemeriksaan institusi pendidikan sebagaimana yang diarahkan oleh Menteri Pelajaran atau sebagaimana yang ditetapkan.
v.     Memberi nasihat kepada pengelola atau mana-mana orang lain yang bertanggungjawab atas pengurusan sesuatu institusi pendidikan dan kepada guru-guru tentang perkara-perkara yang berhubungan dengan pengajaran atau pengurusan yang dijalankan oleh institusi itu.
vi.       Mengemukakan suatu laporan kepada Menteri tentang tiap-tiap institusi pendidikan yang diperiksa oleh Nazir Sekolah.
vii.       Membina standard kualiti pendidikan kebangsaan yang boleh dijadikan penanda aras untuk mencapai kualiti.
viii.      Memastikan dasar pendidikan dipatuhi oleh institusi pendidikan melalui pemeriksaan institusi pendidikan.
ix.   Memastikan pengurusan penyampaian khidmat pendidikan bebas daripada pelanggaran, kecuaian dan ketidakcekapan.