Sunday 29 March 2015

ISU DAN TRENDA DALAM PENDIDIKAN PEMULIHAN - 5

Pengawasan dan Penyeliaan

Peranan Nazir

Tindakan susulan iaitu pengawasan dan penyeliaan oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) sebagai badan pemastian standard Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat memainkan peranan yang penting dalam memastikan kualiti pendidikan di Malaysia berada dalam tahap yang disasarkan.  

Peranan ini perlu dilaksanakan secara optimum bagi memastikan semua usaha KPM dalam mencapai aspirasi sistem pendidikan negara berada pada landasan yang sepatutnya, khususnya di peringkat sekolah. Pengawasan dan penyeliaan oleh  Nazir dan Jaminan Kualiti tidak terkecuali juga untuk program pemulihan di sekolah. 


Penegasan mengenai peranan ini sebagaimana yang dicatatkan dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) di bawah subseksyen 117(a) yang memperuntukkan tanggungjawab kepada Ketua Nazir Sekolah untuk memastikan taraf pengajaran yang memuaskan diwujudkan dan dikekalkan di institusi pendidikan. Peranan Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti:-

i.       Merancang dasar dan operasi Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti bagi memastikan taraf pengajaran yang memuaskan diwujudkan dan dikekalkan di institusi pendidikan.
ii.       Bertanggungjawab, dengan kerjasama mana-mana pihak berkuasa yang dilantik oleh Menteri Pelajaran bagi memastikan bahawa taraf pengajaran yang memuaskan diwujud dan dikekalkan di institusi pendidikan.
iii.      Memeriksa institusi pendidikan atau menyebabkan institusi pendidikan diperiksa oleh Nazir Sekolah pada tempoh yang difikirkan sesuai.
iv.      Menjalankan apa-apa kewajipan lain berhubungan dengan pemeriksaan institusi pendidikan sebagaimana yang diarahkan oleh Menteri Pelajaran atau sebagaimana yang ditetapkan.
v.     Memberi nasihat kepada pengelola atau mana-mana orang lain yang bertanggungjawab atas pengurusan sesuatu institusi pendidikan dan kepada guru-guru tentang perkara-perkara yang berhubungan dengan pengajaran atau pengurusan yang dijalankan oleh institusi itu.
vi.       Mengemukakan suatu laporan kepada Menteri tentang tiap-tiap institusi pendidikan yang diperiksa oleh Nazir Sekolah.
vii.       Membina standard kualiti pendidikan kebangsaan yang boleh dijadikan penanda aras untuk mencapai kualiti.
viii.      Memastikan dasar pendidikan dipatuhi oleh institusi pendidikan melalui pemeriksaan institusi pendidikan.
ix.   Memastikan pengurusan penyampaian khidmat pendidikan bebas daripada pelanggaran, kecuaian dan ketidakcekapan.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih di atas komen membina anda