Thursday 10 September 2020

Kajian - Rayyan Rayna Colourful Dough (RRCD) -Aromatic Dough

 

Laporan Penyelidikan

 

Rayyan Rayna Colourful Dough (RRCD) -Aromatic Dough

 

Pengenalan

 

Rayyan Rayna Colourful Dough (RRCD) -Aromatic Dough ialah transfomasi idea untuk mengganti dough berwarna-warni di pasaran, yang tidak pasti selamat digunakan kerana bahan asasnya ada campuran bahan kimia. RRCD-Aromatic Dough dihasilkan berasaskan bahan alami iaitu tepung gandum dicampur bahan semulajadi tumbuhan berwarna dan mengeluarkan aroma menyenangkan. Masalah ketara murid pendidikan khas masalah pembelajaran dan pendidikan awal kanak-kanak ialah kurang cekap menggunakan motor halus khususnya jari jemari membuat kerja tangan, mengenal pasti bau dan warna. Ini menyebabkan kanak-kanak sukar membentuk, membuat perbandingan, mengklasifikasi dan keliru dalam konsep mendiskriminasi. Kesannya, kanak-kanak membuat kesalahan berterusan, menghasilkan kerja tangan yang tidak berkualiti dan meningkatkan tingkah laku pasif kanak-kanak. Model PDCA digunakan dalam penyelesaian masalah yang efektif untuk aktiviti motor halus, membuat banding beza dan terapi dalam konteks pendidikan. Hasil penyelidikan RRCD telah dibentangkan dalam seminar. RRCD telah disebar luas dalam bengkel kepada guru, murid, ibu bapa dan pelajar PISMP. Secara dalam talian pengguna boleh akses di zaharilahduniapendidikanpemulihan.blogspot.com. Implikasinya, murid seronok dengan kaedah main sambil belajar, penggunaan motor halus lebih baik dalam menggaul, membentuk dan membantu daya pengamatan membuat perbandingan. Secara tidak langsung menajamkan daya bau dan visual kanak-kanak. Produk didaftar dengan Myipo LY2018001177 supaya kualiti terkawal, dan dikongsi dengan pengguna secara dibukukan ISBN 978-967-5820-20-5.

 

Rayyan Rayna Colourful Dough (RRCD) -Aromatic Dough dilaksanakan di sekolah

Pembelajaran aktif yang dilaksanakan secara latih tubi adalah salah satu strategi pengajaran yang boleh digunakan untuk mengajar kanak-kanak pendidikan awal, pendidikan khas masalah pembelajaran dalam menghasilkan bahan motor halus, dengan cara ini membuatkan mereka lebih aktif dan dapat meningkatkan kemahiran motor halus, deria bau dan mendiskriminasi warna kanak-kanak.  

Pembelajaran melibatkan aktiviti latih tubi akan menyebabkan kanak-kanak semakin cekap dalam melakukan pelbagai kerja menggunakan multisensori.  Mengupayakan penggunaan multisensori sangat baik kerana ianya saling menyokong bahagian sensori yang lemah, Silbermann, (2010).  Menurut Meyers dan Jones (1993), pembelajaran aktif berasal daripada dua andaian: (1) pembelajaran pada hakikatnya adalah satu aktiviti yang aktif dan (2) pelajar yang berlainan mempunyai cara belajar yang berbeza. Grinder (1991) mendapati lebih ramai kanak-kanak boleh belajar dengan berkesan menggunakan gabungan aktiviti visual, auditori dan kinestetik. Gaya pembelajaran kanak-kanak terdiri daripada pelbagai kategori iaitu kanak-kanak visual, kanak-kanak auditori dan kanak-kanak kinestetik yang menyebabkan cara belajar mereka berbeza di dalam satu kelas (Silberman 2010).  Schreoder et. al (1993) mendapati kanak-kanak lebih suka terlibat dengan pengalaman segera dan konkrit di mana pengajaran dan pembelajaran aktif akan mewujudkan keserasian yang amat baik kepada kanak-kanak.

Menurut Model Gaya Pembelajaran Felder-Silverman (1996) ciri-ciri seorang kanak-kanak yang bersifat aktif adalah suka mencuba sesuatu, suka belajar dan bekerja dalam kumpulan. Kanak-kanak yang aktif lebih suka belajar melalui cara menerangkan kepada kawan-kawan dan senang untuk mengingati sesuatu perkara. Dalam kalangan kanak-kanak pendidikan khas masalah pembelajaran juga, terdapat kanak-kanak yang bersikap aktif dan suka mencuba menghasilkan pelbagai bahan dan aktiviti secara latih tubi dapat meningkatkan keupayaan kanak-kanak.

 

Model kajian tindakan PDCA digunakan sebagai panduan dalam kajian, iaitu Plan (P), Do (D), Check (C), Action(A).

 

 

 

Berpandukan Model PDCA, dalam Plan (P), pengkaji membuat tinjauan awal terlebih dahulu, pengkaji mendapati semasa pengajaran dan pembelajaran (PdP), tenaga pengajar kurang mengupayakan kebolehan kanak-kanak dalam menghasilkan sendiri bahan dalam aktiviti motor halus dan deria bau. Analisis masalah juga menunjukkan beberapa faktor yang menyebabkan aktiviti motor halus kurang dilaksanakan, antaranya faktor keselamatan kanak-kanak semasa menggunakan pelbagai peralatan, di mana ianya memerlukan pengawasan dan kanak-kanak tidak boleh dibiarkan secara berdikari untuk menggunakan peralatan terutama jika peralatan tajam. Penggunaan peralatan yang banyak dalam aktiviti dan masa penyediaan untuk melaksanakan aktiviti yang memakan masa yang lama antara penyumbang aktiviti motor halus kurang popular untuk dilaksanakan dalam PdP pendidikan awal kanak-kanak dan murid pendidikan khas masalah pembelajaran. Hasil tinjauan awal ini mencetuskan idea kepada pengkaji untuk menghasilkan RRCD_Aromatic Dough iaitu untuk membantu menyelesaikan masalah supaya aktiviti menghasilkan bahan menggunakan motor halus boleh diaplikasi dalam PdP.

Seterusnya Do (D), Uji cuba bersama kanak-kanak berkeperluan khas masalah pembelajaran. Melalui pemerhatian, temubual, rakaman video pengkaji mendapati minima pemantauan semasa aktiviti kerana peralatan yang tajam kurang digunakan, malahan menggunakan bahan semula jadi daripada  sumber makanan membuatkan guru dan ibu bapa berasa kanak-kanak lebih selamat. Penglibatan kanak-kanak lebih aktif, kanak-kanak menunjukkan minat dan menyiapkan kerja hingga selesai dan pengurusan masa aktiviti lebih baik. Manakala faktor keselamatan sangat terkawal kerana minima penggunaan bahan bercampur dengan bahan kimia yang tidak ada kepastian tahap keselamatannya.  

Dalam turutan PDCA seterusnya adalah Check (C), didapati proses menghasilkan RRCD lebih mudah, cepat dan selamat. Kanak-kanak pendidikan khas masalah pembelajaran berjaya dalam menghasilkan RRCD dari permulaan hingga terhasil produk dengan kemas dan boleh digunakan untuk aktiviti membentuk dan diskriminasi bau dan warna. Kelestarian alam sekitar juga terpelihara kerana tiada pembuangan bahan. Kualiti RRCD hampir sama dengan produk sedia ada di pasaran menggunakan play dough, dengan kos pembuatan yang rendah.

Action (A) adalah tindakan terakhir dalam kajian, tindakan penyeragaman dan tindakan susulan dilaksanakan. Pengkaji membuat tafsiran terhadap pernyataan kurikulum Prasekolah Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran dan menyesuaikannya dengan strategi latih tubi menggunakan aktiviti motor halus, dalam kurikulum antara pernyataannya iaitu menggunakan bahan maujud dalam PdP bagi membantu murid menguasai konsep dan pengetahuan. Aktiviti PdP perlu pelbagai dan seimbang supaya pembelajaran murid lebih berkesan dan bermakna seperti: aktiviti dalam dan luar; aktiviti aktif dan pasif; aktiviti individu, kumpulan dan kelas; serta aktiviti berasaskan inisiatif murid dan aktiviti yang dirancang oleh guru.

 

1.1  Objektif Kajian

Objektif kajian ini ialah untuk melihat bagaimana aktiviti menggunakan dough yang diberikan kepada kanak-kanak di peringkat awal pendidikan akan dapat membantu meningkatkan kemahiran motor halus kanak-kanak.

 

1.2  Persoalan Kajian  

Objektif kajian ini ialah untuk melihat bagaimana dough yang diberikan kepada kanak-kanak di peringkat awal pendidikan akan dapat membantu meningkatkan kemahiran motor halus kanak-kanak.

 

2. METHODOLOGY

 

Kaedah pengumpulan data dalam kajian ini menggunakan kaedah kualitatif iaitu kaedah pemerhatian, temubual dan rakaman video. Pengkaji membina sendiri bahan yang dinamakan Rayyan Rayna Colourful Dough (RRCD) -  Aromatic Dough yang digunakan dalam aktiviti untuk membantu kebolehan murid pendidikan khas masalah pembelajaran meningkatkan kemahiran motor halus melalui aktiviti mengaul, menggentel, membancuh, meramas dan membentuk. Aktiviti ini dapat menghasilkan pembelajaran aktif dalam kalangan kanak-kanak pendidikan khas masalah  pembelajaran. RRCD dihasilkan menggunakan bahan asas tepung gandum, pewarna semulajadi dari tumbuhan yang mengeluarkan bau dan warna . RRCD dimanipulasi untuk dijadikan bahan latihan motor halus.  

Pengkaji bersama guru pendidikan khas masalah pembelajaran yang merupakan rakan pengkaji, telah melaksanakan aktiviti RRCD bersama kanak-kanak pendidikan khas masalah pembelajaran, dan dapatan daripada kajian ini dapat menjawab persoalan kajian, di mana menunjukkan aktiviti RRCD dapat membantu latihan motor halus dan kanak-kanak dapat menghasilkan sendiri RRCD yang mengandungi kemahiran asas seperti menggaul, menggentel, mengecam, mendiskriminasi bau dan warna, dan menghasilkan bentuk.  Menurut Mohd Sharani Ahmad (2006)  kemahiran asas yang perlu  dikuasai oleh murid ini juga bertujuan supaya kanak-kanak dapat bersaing dengan kehendak semasa, dan melalui temubual juga menunjukkan kanak-kanak berasa gembira semasa menghasilkan RRCD sehingga dapat hasil akhir. Hasil pemerhatian dan hasil temubual dengan guru dapat menjawab persoalan kajian.  Bagaimana aktiviti RRCD dapat membantu meningkatkan kemahiran motor halus dan mendiskriminasi bau dan warna kanak-kanak di peringkat awal pendidikan. Hasil temu bual dengan kanak-kanak pendidikan khas masalah pembelajaran:

 

Pernyataan Pertama Kanak-kanak Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran:

Saya dapat buat RRCD dan saya tahu warna yang saya suka. Tak penat pun buat RRCD.

 

Pernyataan Kedua Kanak-kanak Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran:

Saya suka membuat RRCD, saya dah siapkan bentuk saya dan nak simpan dan nak buatkan untuk kawan-kawan saya.

 

Pernyataan Ketiga Kanak-kanak Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran:

Saya dapat siapkan semua bentuk RRCD dengan kawan-kawan saya dan nak tunjuk pada emak.

 

Pernyataan Ketiga Kanak-kanak Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran:

Saya seronok buat bentuk guna RRCD. Saya dapat bezakan warna merah, kuning dan coklat.

 

Pernyataan Keempat Kanak-kanak Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran:

Saya dapat membuat bentuk dan kenal bau gunakan RRCD dan saya minat sangat guna sebab best.

 

Pernyataan Kelima Kanak-kanak Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran:

Saya dapat bezakan warna dan bau pandan, bau limau dan bau kopi dan saya nak main dengan kawan saya, dan saya tak letih dan tak mengantuk pun.

 

          Hasil daripada temu bual antara penyelidik dengan kanak-kanak pendidikan khas masalah pembelajaran, didapati kanak-kanak tersebut sangat seronok melaksanakan pembelajaran menggunakan RRCD. Aktiviti berbentuk hands on dan pembelajaran secara aktif menjadi pilihan guru  pendidikan khas masalah pembelajaran untuk diaplikasi dalam kelas. Walau pun guru merasa sukar di peringkat awal, namun setelah guru memberikan latihan dan kanak-kanak melalui latihan yang berulang dan pembelajaran yang bermakna kanak-kanak lebih berusaha untuk menyelesaikan semua aktiviti dalam RRCD. Potensi pembelajaran kanak-kanak akan berkembang dengan aktif apabila mereka menjalani proses pembelajaran berpusatkan murid. Justeru, pendidik disaran supaya lebih peka terhadap keperluan murid serta bijak dalam mengguna pakai bahan bantu mengajar bagi memastikan objektif pengajaran dan pembelajaran tercapai, Syamsulaini Sidek & Mashitoh Hashim (2016). Guru menjadi pemimpin yang membimbing murid dan memperuntukkan lebih banyak masa untuk menjalankan aktiviti pembelajaran, sama ada secara berkumpulan atau individu (Li, Mai & Tse-Kian, 2014). Terbukti aktiviti bercirikan aktiviti motor halus akan dapat merangsang pembelajaran aktif dan dilaksanakan secara aktiviti yang terancang.

 

4. RUMUSAN

Terdapat ahli psikologi turut menekankan bahawa selagi tidak ada penumpuan dalam pembelajaran, tidak akan terbentuk pengamatan semasa melaksanakan aktiviti  motor halus. Dalam konteks kanak-kanak pendidikan khas masalah pembelajaran, semasa melaksanakan aktiviti RRCD, murid menerima semua rangsangan tetapi hanya memilih rangsangan yang tertentu sahaja yang diperlukan untuk menghasilkan bahan motor halus seperti RRCD. Rangsangan yang diterima bermula dengan memilih sumber semulajadi yang sesuai untuk dijadikan bahan pewarna dan aromatik. Penumpuan ke arah menghasilkan RRCD dapat dikembangkan melalui aktiviti mengaul, menggentel, membancuh, dan membentuk. Pemilihan bahan rangsangan untuk meningkatkan kemahiran motor halus kanak-kanak amat penting, bahan yang boleh disentuh, dilihat, beraroma dan berwarna-warni amat mempengaruhi daya ingatan visual dan bau kanak-kanak.

Penyebarluasan hasil RRCD juga pernah dilaksanakan di beberapa buah sekolah yang melaksanakan Program Pendidikan Khas. dan PAKK.  Hasilnya menunjukkan murid amat berminat dan dapat menghasilkan RRCD yang boleh merangsang murid untuk aktif dalam pembelajaran, dan dijadikan bahan bermain sambil belajar.

Sebagai kesimpulan RRCD berupaya memberi alternatif kepada guru dalam amalan pembelajaran aktif secara latih tubi dalam kelas, melalui  aktiviti motor halus.  Kanak-kanak aktif  menghasilkan RRCD selain dapat mengukuhkan daya pengamatan. Justeru kanak-kanak juga boleh berkomunikasi dengan baik ketika bekerjasama dalam kumpulan semasa menghasilkan RRCD. Malahan RRCD juga boleh merentas kurikulum bahasa dan teknologi.  Bagi tujuan kajian seterusnya adalah dicadangkan agar projek RRCD ini dijadikan alat untuk membantu meningkatkan kemahiran diskriminasi pengamatan penglihatan dalam kalangan kanak-kanak pendidikan khas masalah pembelajaran. Secara tidak langsung aktiviti RRCD dapat membantu kecekapan kanak-kanak semasa membuat aktiviti dalam mata pelajaran lain. Kanak-kanak menjadi lebih peka ketika beraktiviti melibatkan pelbagai bahan dan peralatan. Latihan yang lebih kerap menggunakan RRCD akan dapat membantu kanak-kanak pendidikan khas masalah pembelajaran menjadi lebih yakin pada kebolehan diri sendiri.

 

Rujukan

Abd Khalil Adnan. (2017).  Reka bentuk model program perkembangan profesionalisme guru    

            Malaysia: Kuala Lumpur: Universiti Malaya .

 

Kauffman, J.M. & Hallahan, D. P. (2005). Special Education: What It Is And Why We Need It. 2nd edition. Boston ; Montreal : Pearson/ Allyn and Bacon.

Li, Y.W., Mai, N., & Tse-Kian, N. (2014). Impact of learner-centred teaching environment with the use of multimedia-mediated learning modules in improving learning experience. Jurnal Teknologi. 68(2), pp. 65-71.

Meyers, C. & Jones, T.B. (1993). Promoting active learning. Strategies for the college classroom. San Francisco: Jossey-Bass Inc. Publishers. 

Mohd.Sharani Ahmad, (2006). Mengurus kanak-kanak yang susah belajar. Seberang Prai Tengah: 

               PTS.

Peter, C.J., Emeliana, E. & Mohd Sofi, N. (2010). Perkembangan Kurikulum Pendidikan Khas Teknik dan Vokasional. Dicapai pada September 14, 2012, dari ms.1 di kurikulum_Pendidikan_Khas_Teknik_dan_Vokasional.pdf.

Syamsulaini Sidek & Mashitoh Hashim (2016).  Video-Based Teaching in Student-Centered Learning:  Analysis and Critical Review: Journal of ICT in Education (JICTIE) ISSN 2289-7844 / Vol. 3 / 2016 / 24-33. 

Silberman, M. (2000). Pembelajaran Aktif : 101 Strategik untuk Mengajar Apa Jua Pelajar. (Ahmad, Z. Trans.). Kuala Lumpur. Institut Penterjemahan Malaysia. 2004

Zalizan Mohd Jelas. (Pnyt.). 2009. Pendidikan Kanak-Kanak Bekeperluan Khas: Konsep dan Amalan. Bangi: Fakulti Pendidikan, Universiti kebangsaan Malaysia.