Sunday 27 July 2014

Yang Mana Satu?




Jalan raya sibuk dengan kenderaan, maklum lah cuti akan bermula Isnin ini untuk menyambut Hari Raya Aidil Fitri, Danial hendak melintas jalan raya yang sibuk, tetapi Danial seolah-olah tidak pasti hendak melintas atau tidak, perasaan Danial antara berani dan takut untuk melintas. Ketika Danial hendak melintas jalan raya yang sibuk itu, tiba-tiba bunyi sebuah kenderaan menekan brek dengan kuat.
            Danial seolah-olah tidak mendengar bunyi brek kenderaan tersebut dan Danial terus sahaja melintas. Setelah sampai di seberang jalan, Danial berhenti seketika sambil memerhatikan begitu banyak kereta di kawasan meletak kenderaan, Danial tidak pasti yang mana satukah kereta kepunyaan bapanya.
            Terdapat sebuah bangku panjang tidak jauh dari kawasan meletak kenderaan, Danial memandang ke sana sini mencari tempat untuk duduk sementara menunggu bapanya datang ke tempat meletak kenderaan, tetapi bangku tersebut hampir dipenuhi orang yang duduk menunggu bas. Danial cuba menyelit untuk duduk, cubaannya tidak berjaya, sangkaan Danial badannya boleh muat untuk menumpang duduk antara seorang lelaki yang berbadan besar dengan seorang lelaki yang susuk badannya sederhana, tetapi sangkaan Danial sama sekali silap, rupa-rupanya ruang untuk Danial duduk terlalu sempit walaupun Danial telah mencuba beberapa kali. Danial mengambil keputusan untuk menunggu bapa, ibu dan adiknya Siti sambil berdiri di satu sudut di tempat meletak kenderaan.
            Dalam keluarga Danial, jika disusun kedudukan dalam adik beradik Danial yang seramai empat orang, Danial berada dalam kedudukan yang ketiga, tetapi apabila ditanya Danial kerap menyatakan dia anak kedua, walaupun telah beberapa kali ayah dan ibu Danial menegur, tetapi Danial sering silap menyusun dia berada dalam bilangan yang ke berapa jika disusun dalam bilangan adik beradiknya. Tiba-tiba bahu Danial ditepuk dari belakang, rupa-rupanya adik Danial, Siti yang menepuk bahunya dan telah memanggilnya berkali-kali daripada belakang Danial, tetapi Danial tidak memberi tindak balas,  Siti memberitahu Danial, bapa dan ibu mereka sedang menunggu di kereta. Rupa-rupanya bapa, ibu dan adik Danial Siti, telah pun berada dalam kereta dan memerhatikan Danial daripada jauh sambil membunyikan hon beberapa kali, tetapi tidak mendapat tindak balas daripada Danial.
            Setelah semuanya berada dalam kereta bapa Danial meneruskan perjalanan untuk pulang ke rumah, ketika berada tidak jauh daripada lampu isyarat, Danial memberitahu bapanya supaya cepat memandu,  kerana Danial hendak cepat sampai ke rumah menonton cerita kegemarannya di televisyen pada pukul empat petang. Bapa Danial memberitahu Danial lampu isyarat berwarna merah dan bapa Danial perlu berhenti, tetapi Danial menyatakan lampu isyarat berwarna kuning masih boleh jalan, bapa Danial agak terkejut, kerana lampu isyarat memang dalam keadaan lampu merah, tetapi Danial nampak lampu isyarat tersebut dalam warna kuning. Keadaan ini berterusan apabila mereka melalui lampu isyarat kedua dan ketiga sebelum sampai ke rumah mereka yang terletak di Jalan Mangga Satu.
            Setelah keluarga Danial sampai di rumah, Danial diberi segugus kunci untuk membuka pintu pagar rumah, Danial kelihatan terkial-kial memilih anak kunci yang sesuai untuk membuka kunci bermangga pada pagar rumah mereka.  Setelah dibantu adiknya Siti, akhirnya Danial dapat memilih anak kunci yang betul untuk membuka kunci bermangga pintu pagar rumah mereka.
            Masuk sahaja ke dalam rumah Danial bergegas membuka siaran televisyen untuk menonton cerita bersiri kegemarannya, hari ini adalah sambungan untuk siri kedua cerita Detektif Conan yang  memang ditunggu-tunggu oleh Danial, setelah menonton seketika, Danial kelihatan resah dan merunggut sendirian, ketika ayahnya bertanya, Danial memberitahu dia tidak faham sambungan cerita tersebut, kerana Danial tidak dapat mengaitkan siri satu dan siri kedua cerita yang ditontonnya. Ayah Danial yang sering menemani Danial menonton, menjelaskan kepada Danial perkaitan antara siri satu dan siri kedua cerita itu, setelah dijelaskan oleh ayahnya baharulah Danial memahaminya.
Bapa dan ibu Danial berbincang tentang perlakuan Danial yang mereka perhatikan sepanjang keluar membeli belah untuk menyambut Hari Raya di bandar tadi. Mereka dapati Danial mengalami beberapa masalah berkaitan pengamatan. Bapa dan ibu Danial berpendapat mereka perlu membantunya untuk mengatasi beberapa kelemahan Danial dalam menguasai kemahiran pengamatan, yang diperlukan untuk menjalani kehidupan seharian, ini bagi membolehkan Danial berasa lebih selesa dan diterima dalam kalangan masyarakat sekelilingnya.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih di atas komen membina anda