Wednesday, 17 April 2019

Buku Gigi Rayyan - Rayyan's Teeth - Rayyan Childhood Series


Buku Gigi Rayyan sebuah buku cerita bergambar kanak-kanak. Buku ini  diterbitkan dalam Bahasa Melayu dan Dwibahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Terdapat dua muka surat dilampirkan tracing paper bertujuan untuk menggalakkan kanak-kanak melukis. Jika kanak-kanak kurang yakin atau tidak pernah mencuba untuk melukis gambar, kanak-kanak boleh menggunakan tracing paper dengan mengikut bentuk pada gambar yang sedia ada dalam buku. Jangan bimbang jika tersilap meniru bentuk kerana tracing paper boleh dipadam dan dilukis semula menggunakan tracing paper yang sama.

Bagi kanak-kanak yang suka mewarna, kanak-kanak boleh mewarna dengan menggunakan pensil warna atau crayon atau magic pen atau bahan mewarna buku yang ada di pasaran.

Kanak-kanak tentu sukakan jalan cerita dalam buku ini, bagaimana Rayyan menjaga giginya. Kepada guru dan ibu bapa yang melaksanakan aktiviti bercerita bersama kanak-kanak, boleh gunakan buku Gigi Rayyan untuk aktiviti bercerita dan aktiviti menggalakkan kanak-kanak membaca buku.

Dalam muka surat terakhir buku Gigi Rayyan,  disediakan aktiviti silang kata, bertujuan untuk merangsang kanak-kanak berfikir dan boleh dijadikan aktiviti pertandingan antara kanak-kanak siapa yang dapat melengkapkan teka silang kata terlebih dahulu.

Disertakan beberapa gambar yang boleh dijadikan panduan aktiviti yang boleh dilaksanakan menggunakan Buku Gigi Rayyan.










Sunday, 17 March 2019

     
                   PUPPET RAYYAN & RAYNA I LIKE TO MOVE IT


Rayyan dan Rayna (R&R) I Like To Move It adalah puppet yang direka dengan menggunakan beberapa material, antaranya kotak terpakai dan fabrik yang berwarna-warni. Tujuan bahan ini direka cipta dan dimasukkan unsur inovasi untuk memberikan kelainan kepada aktiviti menggalakkan kanak-kanak berkomunikasi. Aktiviti komunikasi menggunakan puppet R&R mengaplikasikan teknik VAKT supaya dapat mewujudkan aktiviti komunikasi berkesan dalam kalangan kanak-kanak. Aktiviti menggunakan puppet Rayyan & Rayna juga dapat merangsang kanak-kanak menggunakan kreativiti, inovasi dan psikomotor halus dan kasar kanak-kanak, proses menghasilkan Rayyan dan Rayna dapat melatih kanak-kanak berimaginasi, dan imaginasi diluahkan melalui watak Rayyan & Rayna memakai pakaian yang pelbagai tema. Banyak aktiviti seperti melakar, menggunting, menghasilkan perhiasan pada pakaian, yang dapat melatih daya kreativiti kanak-kanak dan koordinasi mata dan tangan kanak-kanak.
Aktiviti membina Puppet Rayyan & Rayna boleh dibuat dalam kumpulan, kanak-kanak boleh berkreativiti dengan menghasilkan pakaian Puppet Rayyan & Rayna pelbagai warna dengan menggunakan aksesori pada pakaian menjadikannya cantik dan boleh juga dilekatkan kad suku kata atau nombor pada pakaian puppet untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran.

Jika peminat bahan-bahan inovasi Siri Rayyan dan Rayna boleh dapatkan buku panduan untuk membina puppet dalam buku Puppet Rayya & Rayna I Like To Move It  atau hubungi Zaharilah di talian 019 6077220 atau email zaharilahiprm@gmail.com







Tuesday, 5 March 2019

Buku cerita bergambar kanak-kanak Gigi Rayyan dalam Rayyan Childhood Series




Buku cerita bergambar kanak-kanak bertajuk Gigi Rayyan dalam Rayyan Childhood Series ditulis berdasarkan pengalaman penulis semasa zaman kanak-kanak ketika di kampung. Penggunaan arang yang dicampur dengan garam amat popular untuk memutih dan membersihkan gigi suatu ketika dahulu. Mungkin sekarang ianya tidak lagi menjadi amalan dalam budaya masyarakat Melayu di Malaysia, tetapi penggunaan arang yang ditumbuk dengan garam sebagai bahan untuk menggosok gigi boleh dijadikan satu panduan kepada kanak-kanak menggunakan arang dan garam sebagai bahan alternatif untuk membersihkan gigi, ianya tidak mendatangkan kemudaratan kepada pengguna. Buku cerita bergambar kanak-kanak ini boleh diperolehi daripada penulis dengan menghubungi penulis melalui email halirahaz@yahoo.com, blog Dunia Pendidikan Pemulihan atau FB Zaharilah. Kandungan buku ini selain daripada jalan cerita yang mudah, ianya juga mengandungi permainan silang kata untuk merangsang kanak-kanak berfikir. Buku ini juga boleh dijadikan buku untuk aktviti mewarna dan buku cerita untuk aktiviti awal membaca.

Friday, 18 May 2018






Membuat Shake Shake Ice Cream perasa coklat bersama kanak-kanak

* Aktiviti hands-on Shake Shake Ice Cream (SSIC) boleh mewujudkan suasana menyeronokkan di sekolah.
* Guru boleh melaksanakan aktiviti SSIC pada permulaan PdP untuk set induksi atau penutup sosial PdP.
* Aktiviti SSIC digunakan untuk latihan psikomotor halus kanak-kanak, pada permulaan aktiviti menyimpul plastik ice cream sebagai latihan psikomotor halus.
* Aktiviti SSIC digunakan untuk latihan psikomotor kasar ketika kanak-kanak menggoyang-goyangkan plastik ice cream, guru boleh memasang lagu yang sesuai dengan pergerakan kinestatik kanak-kanak, ke kiri ke kanan angkat ice cream ke atas dan ke bawah.
* Aktiviti SSIC boleh dibuat dalam kumpulan kecil atau dalam kumpulan besar.

Thursday, 16 March 2017

Puppet Rayyan & Rayna I Like To Move It

Menggunakan puppet yang saya namakan Rayyan & Rayna (R&R) I Like To Move It untuk menarik perhatian kanak-kanak dalam pembelajaran aktif. Kanak-kanak sukakan aktiviti yang ada pergerakan, menggunakan bahan yang berwarna-warni, jarang ditemui, diperbuat daripada bahan yang bukan menjadi kebiasaan dalam kelas, kanak-kanak juga sukakan perbezaan, bukan rutin, kanak-kanak akan teruja melaksanakan aktiviti bersama orang baharu seperti guru yang baharu sampai ke sekolah.

Persediaan yang perlu dilakukan sebelum aktiviti menggunakan R&R adalah menyediakan puppet R&R, puppet pelbagai haiwan dipasangkan getah berwarna-warni, sediakan juga lirik lagu yang mudah dihafal dengan muzik minus one sebagai latar dan persediaan cerita pendek diikuti pergerakan yang sesuai.

Saturday, 10 September 2016

Lily
Setiap pagi pastinya Lily kelam-kabut ketika hendak ke sekolah. Pagi tu sebelum ke sekolah Lily baru nak ikut jadual waktu, menseterika baju sekolah, mandi dan bersarapan. Sempat ke? pastinya tak sempat! Apabila tak sempat Lily menangis teresak-esak minta bantuan adik beradiknya yang lain. Marahlah kakak dan abang Lily, sebab mereka pun hendak bersiap untuk ke sekolah. Berbeza dengan kakak dan abang Lily yang telah bersiap sedia di sebelah malam untuk persiapan ke sekolah. Lily sering bertangguh untuk membuat persediaan ke sekolah di sebelah malam, Lily membuat anggapan dia sempat menyediakan keperluan dan menguruskan dirinya pada sebelah pagi, tetapi ternyata sangkaannya meleset sama sekali. Lily sempat mandi dan mengikut  jadual waktu tetapi tidak sempat untuk menseterika baju dan bersarapan.
Ketika menaiki bas untuk ke sekolah Lily sering hampir tersungkur di tangga bas sekolah. Kakak Lily cepat-cepat akan menarik tangan Lily untuk mengelak Lily daripada terjatuh. Lily memberitahu kakaknya bahawa dia pasti telah memijak anak tangga yang betul, tetapi apabila dia melangkah naik tangga bas, dia sendiri tidak pasti kenapa dia tidak memijak pada anak tangga yang sepatutnya.
Mata pelajaran yang paling diminati Lily adalah Kemahiran Hidup. Ketika membuat aktiviti membuat rak buku kecil, Lily bersungguh-sungguh mengergaji dan memaku rak buku yang dibinanya. Lily seorang yang ringan tulang, dia akan membantu guru Kemahiran Hidup mengemas dan menyusun kembali semua bahan dan peralatan yang digunakan ketika menjalani projek untuk subjek tersebut. Di sebelah petang semasa mengikuti aktiviti ko kurikulum Persatuan Tunas Putri, Lily dipilih oleh guru persatuan untuk turut  serta dalam perbarisan sukan sekolah. Ketika Lily menjalani latihan bersama rakan-rakannya dalam perbarisan, Lily kerap kali ditegur oleh ketua perbarisan kerana sering silap ketika  berkawat, ini menyebabkan latihan berkawat memakan masa yang panjang. Kemahiran berkawat memerlukan seseorang mempunyai pelbagai kecekapan seperti mendengar arahan, mengamati pergerakan dan bergerak secara serentak, nampaknya Lily perlu membuat latihan tambahan berbanding rakan-rakannya yang lain.
Lily kenapa air ni masin? jerit kakak Lily ketika mereka sekeluarga menikmati minum petang di ruang dapur rumah. Lily letak garam ke gula ni? kakak Lily berleter panjang apabila dia minum air yang dibancuh Lily dan terasa airnya masin seperti air laut. Lily bergegas melihat bekas gula dan bekas garam yang hampir sama bentuk dan diletakkan berdekatan. Lily buat silap lagi!  Kakak Lily membuang air yang dibancuh Lily dan dia membancuh air yang lain untuk mereka sekeluarga minum.

Lily berasa penat, kecewa dan hampir berputus asa membuat kerja rumah dan ketika di sekolah mengikuti pelajaran dan aktiviti ko kurikulum. Lily tertanya-tanya pada dirinya sendiri, kenapa dia sering membuat kesilapan.  Lily bukan di kategorikan seorang murid lembam atau ada kecacatan pada deria dan fizikal. Proses kelahiran dan pembesarannya adalah normal seperti kanak-kanak biasa yang lain. Malam itu Lily tidur lena kerana kepenatan. Keadaan yang dialami Lily sebenarnya dalam pemerhatian keluarga Lily yang amat menyayanginya, mereka tidak mahu Lily ketinggalan dalam pelbagai urusan di rumah dan juga di sekolah. Keluarga Lily bercadang hendak ke sekolah, untuk berbincang dengan guru Lily bagaimana mereka boleh membantu Lily supaya lebih cekap dan prihatin dengan persekitaran.