Saturday, 10 September 2016

Lily
Setiap pagi pastinya Lily kelam-kabut ketika hendak ke sekolah. Pagi tu sebelum ke sekolah Lily baru nak ikut jadual waktu, menseterika baju sekolah, mandi dan bersarapan. Sempat ke? pastinya tak sempat! Apabila tak sempat Lily menangis teresak-esak minta bantuan adik beradiknya yang lain. Marahlah kakak dan abang Lily, sebab mereka pun hendak bersiap untuk ke sekolah. Berbeza dengan kakak dan abang Lily yang telah bersiap sedia di sebelah malam untuk persiapan ke sekolah. Lily sering bertangguh untuk membuat persediaan ke sekolah di sebelah malam, Lily membuat anggapan dia sempat menyediakan keperluan dan menguruskan dirinya pada sebelah pagi, tetapi ternyata sangkaannya meleset sama sekali. Lily sempat mandi dan mengikut  jadual waktu tetapi tidak sempat untuk menseterika baju dan bersarapan.
Ketika menaiki bas untuk ke sekolah Lily sering hampir tersungkur di tangga bas sekolah. Kakak Lily cepat-cepat akan menarik tangan Lily untuk mengelak Lily daripada terjatuh. Lily memberitahu kakaknya bahawa dia pasti telah memijak anak tangga yang betul, tetapi apabila dia melangkah naik tangga bas, dia sendiri tidak pasti kenapa dia tidak memijak pada anak tangga yang sepatutnya.
Mata pelajaran yang paling diminati Lily adalah Kemahiran Hidup. Ketika membuat aktiviti membuat rak buku kecil, Lily bersungguh-sungguh mengergaji dan memaku rak buku yang dibinanya. Lily seorang yang ringan tulang, dia akan membantu guru Kemahiran Hidup mengemas dan menyusun kembali semua bahan dan peralatan yang digunakan ketika menjalani projek untuk subjek tersebut. Di sebelah petang semasa mengikuti aktiviti ko kurikulum Persatuan Tunas Putri, Lily dipilih oleh guru persatuan untuk turut  serta dalam perbarisan sukan sekolah. Ketika Lily menjalani latihan bersama rakan-rakannya dalam perbarisan, Lily kerap kali ditegur oleh ketua perbarisan kerana sering silap ketika  berkawat, ini menyebabkan latihan berkawat memakan masa yang panjang. Kemahiran berkawat memerlukan seseorang mempunyai pelbagai kecekapan seperti mendengar arahan, mengamati pergerakan dan bergerak secara serentak, nampaknya Lily perlu membuat latihan tambahan berbanding rakan-rakannya yang lain.
Lily kenapa air ni masin? jerit kakak Lily ketika mereka sekeluarga menikmati minum petang di ruang dapur rumah. Lily letak garam ke gula ni? kakak Lily berleter panjang apabila dia minum air yang dibancuh Lily dan terasa airnya masin seperti air laut. Lily bergegas melihat bekas gula dan bekas garam yang hampir sama bentuk dan diletakkan berdekatan. Lily buat silap lagi!  Kakak Lily membuang air yang dibancuh Lily dan dia membancuh air yang lain untuk mereka sekeluarga minum.

Lily berasa penat, kecewa dan hampir berputus asa membuat kerja rumah dan ketika di sekolah mengikuti pelajaran dan aktiviti ko kurikulum. Lily tertanya-tanya pada dirinya sendiri, kenapa dia sering membuat kesilapan.  Lily bukan di kategorikan seorang murid lembam atau ada kecacatan pada deria dan fizikal. Proses kelahiran dan pembesarannya adalah normal seperti kanak-kanak biasa yang lain. Malam itu Lily tidur lena kerana kepenatan. Keadaan yang dialami Lily sebenarnya dalam pemerhatian keluarga Lily yang amat menyayanginya, mereka tidak mahu Lily ketinggalan dalam pelbagai urusan di rumah dan juga di sekolah. Keluarga Lily bercadang hendak ke sekolah, untuk berbincang dengan guru Lily bagaimana mereka boleh membantu Lily supaya lebih cekap dan prihatin dengan persekitaran. 

Friday, 10 June 2016

Kemahiran Pengamatan Penglihatan/Visual

Kanak-kanak dilahirkan berbeza dan unik dari segi keupayaan fizikal dan kognitif, keunikan dan perbezaan ini perlu dihargai dengan sebaiknya oleh ibu bapa dan para pendidik. Keupayaan fizikal dan kognitif kanak-kanak berkait rapat dengan kemahiran pengamatan, antara kemahiran yang diperlukan dalam proses pembelajaran kanak-kanak. Perbincangan dalam buku ini menumpukan kepada kebolehan kanak-kanak dalam menguasai kemahiran pengamatan diskriminasi penglihatan, perkataan penglihatan juga dikenali dengan visual. Pembinaan Kit Pengamatan Visual (KPV) bertujuan membantu kanak-kanak meningkatkan kemahiran pengamatan diskriminasi penglihatan melalui aktiviti memadan, mengkategori, melengkapkan, mencari benda tersembunyi dan mencari jalan pulang. Bahan yang digunakan dalam KPV berasaskan bahan utama yang terdiri daripada fabrik yang berwarna-warni. KPV menggalakkan kanak-kanak menghasilkan sendiri bahan untuk aktiviti pengamatan visual berdasarkan persepsi dan kreativiti kanak-kanak dengan bimbingan guru atau ibu bapa atau rakan-rakan. KPV mengandungi beberapa set bahan yang bercirikan konsep pembelajaran aktif dan didik hibur. KPV membolehkan kanak-kanak berinteraksi dengan bahan. Proses meningkatkan kemahiran pengamatan boleh berpusatkan kanak-kanak, jika kanak-kanak faham dan dapat menggunakan KPV secara maksima.  


Antara bahan KPV dan boleh digunakan pada bod Kopai Adik iaitu satu bod yang dibina khas untuk melaksanakan pelbagai aktiviti seperti melekat, menampal dan memadan


Jika ada yang berminat untuk mendapatkan Kit Pengamatan Visual (KPV) dan buku panduan KPV, dengan harga yang berpatutan sila contact :
Zaharilah-019 607 7220 atau
Nur Farhana-019 624 0109

Saturday, 14 May 2016

Isu Pelabelan dan Pengasingan

Melabel murid pemulihan khas sebagai kumpulan murid yang lemah dalam akademik, bermasalah dari segi disiplin, tiada kepastian hala tuju dalam mengharungi kehidupan di masa hadapan, tidak boleh berdikari, tidak layak dilantik menjadi ketua atau pengawas sekolah dan pelbagai label negatif dilemparkan kepada golongan murid-murid yang berada dalam program pemulihan khas. Siapa yang suka melabel murid-murid pemulihan khas ni? 


 


Tuesday, 10 May 2016

Teknik Pengulangan

Teknik pengulangan antara teknik yang popular diaplikasi semasa proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas pemulihan khas. Sebagai contoh dalam subjek Matematik dan Bahasa Melayu pemulihan khas, teknik pengulangan dijadikan rutin ketika proses pengukuhan isi kandungan atau ketika guru mengajar kemahiran baharu.

Proses pengulangan boleh dilaksanakan secara formal atau santai. Jika formal, bahan disediakan secara berstruktur, manakala jika secara santai aktiviti pengulangan boleh dibuat dengan menyanyikan lagu seperti lagu Rasa Sayang Hei Rasa Sayang Sayang Hei,atau lagu Bangau Oh Bangau, atau mengikut cikgu menyebut secara berulang-ulang sambil membuat pergerakan kinestatik yang menyeronokkan seperti "kalau kamu gembira tepuk tangan, kalau kamu gembira tepuk tangan, kalau kamu gembira katakan pada saya, kalau kamu gembira tepuk tangan", ketika menyanyi tepuk tangan, dan boleh juga laksanakan aktiviti berpantun yang menggunakan ayat berulang-ulang seperti "Dua tiga kucing berlari, mana nak sama si kucing belang, dua tiga sudah ku cari mana nak sama cik adik seorang" atau menggunakan watak kartun popular seperti Upin dan Ipin, yang menggunakan dialog secara berulang-ulang, secagai contoh perkataan yang sinonim dengan kedua watak adalah perkataan "betul betu[ betul



Saturday, 7 May 2016

Sudut Pembelajaran Aktif

Saiz kelas memberikan kesan dalam perancangan guru untuk mengadakan aktiviti, dalam kesempitan saiz kelas yang hanya satu atau dua bay, guru masih bersemangat untuk menyediakan sudut pembelajaran dan memenuhi kelas dengan bahan bantu untuk mengajar. Cikgu Goghilavaani menyusun atur dengan kemas sudut untuk pembelajaran, aktiviti P&P dapat dilaksanakan dengan baik dan ada sudut yang boleh digunakan untuk pembelajaran aktif.


Pembelajaran aktif menjadikan kelas tidak membosankan

Pengurusan Tingkah Laku Murid

Pengurusan tingkah laku murid dalam kelas perlu dititik beratkan ini supaya pengajaran guru berjalan lancar berdasarkan perancangan guru. Pelbagai cara, teknik dan strategi yang guru boleh aplikasi dalam kelas untuk memastikan tingkah laku murid terkawal dan tidak mengganggu penyampaian P&P dalam kelas. Penggunaan 'token' yang dijadikan ganjaran amat berkesan terutama untuk murid-murid tahap satu. Penghargaan guru terhadap murid juga boleh membentuk tingkah laku murid, seperti yang dilakukan oleh cikgu Sumitha, memberikan hadiah kepada murid yang bertingkah laku baik iaitu murid yang memberikan sepenuh komitmen ketika P&P berlangsung, tidak mengganggu rakan-rakan lain yang sedang belajar dan penghargaan diberikan kepada murid yang dapat menyiapkan tugasan yang guru berikan dengan lengkap, kemas dan betul. 

Penghargaan yang diberikan guru boleh memotivasikan murid untuk belajar


BBM Maujud VS BBM ICT

Penggunaan bahan bantu mengajar (BBM) yang terdiri daripada bahan maujud dapat memberikan kesan yang positif dalam kalangan murid, penggunaan BBM maujud ini boleh memberikan rangsangan kepada murid untuk belajar. Bahan maujud yang digunakan ada di persekitaran murid, bahan yang boleh disentuh, bahan yang biasa untuk kegunaan harian dan bahan maujud berbentuk makanan pula, adalah makanan yang majoriti suka. Cikgu Prem memanipulasi bahan maujud untuk disesuaikan dalam P&P.


Penggunaan jeli dalam tajuk bahagi dalam subjek matematik, murid teruja untuk merasa dengan memegang jeli yang berkilat dan lembut, deria mata, deria bau dan sensori digunakan untuk belajar tajuk pecahan, wah! ini berkemungkinan akan diingat lebih lama oleh murid, sebab berdasarkan teori psikologi lagi banyak deria terlibat untuk P&P lebih lama ilmu yang dipelajari berada dalam ingatan


Tajuk pecahan disampaikan dengan menggunakan kad-kad yang dibentuk bulat dipotong untuk menunjukkan pembahagian, kad memang popular digunakan sebagai bahan bantu mengajar, kad mudah diperolehi, mudah diurus dan nak simpan pun mudah aje.

Selain penggunaan bahan maujud untuk merangsang murid dalam pengajaran dan pembelajaran, bahan pengajaran berbentuk ICT juga digunakan secara aktif dalam kelas, cuma yang menjadi kekangan guru adalah kemudahan LCD projector yang tidak semua kelas ada kemudahan tersebut. Guru perlu bijak mencari cara untuk menggunakan alat dan bahan ICT dalam menyampaikan P&P. Celik ICT memberikan alternatif kepada guru dalam proses menyampaikan isi kandungan pelajaran. Murid juga tidak bosan kerana guru mempelbagaikan BBM dalam penyampaian P&P.
 Seronok murid-murid cikgu Prem mendengar cerita sambil melihat video klip yang disediakan dalam bahagian set induksi P&P

Penggunaan bahan bantu mengajar dan pemberian token atau ganjaran dalam kelas adalah sesuatu yang subjektif untuk diperbincangkan. Kajian Zaharilah, Roslimah dan Nur Farhana yang dijalankan pada tahun 2015 bertajuk Grand Token Membantu Guru Menguruskan Tingkah Laku Murid Pemulihan, menunjukkan token yang dijadikan ganjaran dapat membantu memotivasikan murid untuk mengamalkan tingkah laku positif dalam kelas iaitu kehadiran penuh ke sekolah, menyiapkan tugasan yang diberikan dan aktif dalam kelas semasa P&P dilaksanakan.