Saturday, 7 May 2016

Halangan Komunikasi Guru Pemulihan

Dalam pengurusan Program Pemulihan Khas, guru Pemulihan Khas menghadapi beberapa halangan semasa berkomunikasi dengan pelbagai pihak di sekolah & pihak ibu bapa. Antara sebab halangan komunikasi tersebut;

* Maklumat yang disampaikan atau diterima oleh guru pemulihan kurang lengkap.
* Guru Pemulihan Khas jarang bergaul dengan guru lain.
* Rakan guru kurang berminat terhadap Program Pemulihan Khas.
* Rakan guru kurang faham tanggungjawab dan peranan seorang guru Program Pemulihan Khas.
* Rakan guru tidak mengambil berat tentang Program Pemulihan Khas dan murid Pemulihan Khas.
* Maklumat yang disampaikan oleh guru Pemulihan Khas mengenai program pemulihan tidak mencukupi dan tidak lengkap.
* Guru Pemulihan Khas atau rakan guru terlalu banyak bebanan tugas sehingga tidak ada masa untuk berkomunikasi sesama rakan guru.
* Halangan komunikasi dengan ibu bapa murid terjadi kerana pengendalian program pemulihan khas kurang mesra dengan ibu bapa. Sehingga ada ibu bapa yang tidak tahu pun anak mereka ditempatkan dalam program pemulihan khas.
* Ibu bapa tidak atau kurang dilibatkan dalam program, acara dan aktiviti di sekolah, walaupun anak-anak mereka mengambil bahagian.

Ada ibu bapa yang seronok melaksanakan aktiviti P&P bersama anak-anak mereka atau turut membantu guru mengendalikan aktiviti dalam kelas, cubalah jemput ibu bapa....

Persepsi Pihak Sekolah Terhadap Tugas Guru Pemulihan

Terdapat beberapa isu  yang timbul semasa guru pemulihan khas melaksanakan program pemulihan & isu yang timbul itu adakalanya menyebabkan guru semakin kurang bermotivasi mengendalikan program pemulihan khas di sekolah. 

Pihak pengurusan sekolah telah mempunyai persepsi terhadap tugas seorang guru pemulihan khas, yang dikatakan tidak banyak tugas dan kurang mencabar seperti mana guru aliran arus perdana. Persepsi ini berlandaskan bilangan murid dalam kelas pemulihan, kerana peraturan yang telah ditetapkan maksima murid pemulihan khas seramai 15 orang mengikuti program pemulihan khas secara withdrawal system, iaitu  ketika waktu mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik berlaku proses penarikan keluar murid pemulihan khas ke program pemulihan khas yang dilaksanakan dalam bilik pemulihan khas oleh guru pemulihan khas.

Akibat daripada bebanan tugas sekolah yang terlalu banyak, kadang-kala tugas guru pemulihan banyak yang tergendala, apabila banyak kerja yang tergendala, tugas dalam kelas pemulihan secara langsung akan turut terganggu dan terjejas. Pada kebiasaannya guru pemulihan yang paling kerap diberikan kelas ganti kerana guru tidak hadir. Akibatnya, guru pemulihan mengalami banyak gangguan dalam melaksanakan tugasnya selaku guru pemulihan untuk membantu murid mengatasi masalah penguasaan kemahiran 3M. Tugas selaku guru pemulihan khas yang tidak berjalan lancar ini dipandang serong oleh pihak pengurusan sekolah, yang beranggapan guru pemulihan tidak menjalankan tugas dengan dedikasi. Tanggapan negatif pihak pengurusan sekolah menyebabkan guru pemulihan semakin kurang bermotivasi untuk aktif melaksanakan kerja-kerja pemulihan untuk murid-murid yang telah dikenal pasti sebagai murid pemulihan khas.

Isu murid yang bermasalah disiplin dan kemerosotan prestasi akademik ditempatkan dalam program pemulihan khas juga menjadi beban kepada guru pemulihan khas. Jalan penyelesaian pihak sekolah ialah menempatkan murid tersebut dalam kelas pemulihan hal ini menyebabkan guru pemulihan kurang bermotivasi untuk melaksanakan P&P yang berkesan dalam program pemulihan. Isunya kerana murid bermasalah disiplin dan kemerosotan prestasi akan mengganggu perjalanan P&P dalam kelas pemulihan, perancangan P&P yang dibuat oleh guru pemulihan tidak dapat dilaksanakan mengikut perancangan.

Isu penempatan murid pendidikan khas masalah pembelajaran dalam program pemulihan khas juga turut menyebabkan guru kurang bermotivasi untuk melaksanakan tugas selaku guru pemulihan khas yang berkesan. Setelah murid disaring ada murid yang tidak sesuai ditempatkan dalam program pemulihan khas, murid ini adalah murid yang ada ciri-ciri murid pendidikan khas masalah pembelajaran, tetapi atas desakan pihak ibu bapa yang bertegas tidak mahu anak mereka ditempatkan ke program pendidikan khas integrasi (PPKI), murid tersebut dimasukkan ke program pemulihan khas, hal ini boleh menjejaskan P&P yang dirancang kerana murid PPKI ini ada yang bermasalah tingkah laku yang memerlukan perhatian yang lebih, sedangkan masa untuk guru pemulihan khas membantu murid dalam kemahiran 3M amat terhad dalam waktu mata pelajaran  Bahasa Melayu dan Matematik sahaja.

Isu tidak ada bilik khas untuk melaksanakan program pemulihan, antara penyebab guru pemulihan khas tidak bermotivasi. Bahan bantu mengajar dan dokumentasi untuk menyimpan rekod pelajar amat dititik beratkan dalam program pemulihan khas, kerana ia boleh merangsang murid untuk lebih memahami apa yang guru sampaikan dan sistem dokumentasi untuk merekod biodata murid dan prestasi murid. Guru pemulihan khas perlu membina, menyedia dan menggunakan bahan bantu mengajar untuk membantu murid pemulihan menguasai 3M. Bahan-bahan ini lebih efektif diletakkan dalam kelas sebab ia kerap digunakan, manakala dokumentasi adalah bahan yang perlu disediakan secara sistematik dan disimpan dengan kemas untuk memudahkan guru mendapatkan dokumen tersebut untuk dirujuk. Guru pemulihan khas juga perlu menyimpan secara sistematik dan selamat semua bahan dan dokumen berkaitan dengan program pemulihan khas kerana pihak PPD, JPN dan Jemaah Nazir akan datang untuk memantau program pemulihan khas, dokumen tersebut merupakan bukti yang perlu ditunjukkan.

Isu kurang sokongan daripada pihak pengurusan sekolah, PPD, JPN dan ibu bapa sendiri menyebabkan kurangnya motivasi guru pemulihan khas, ini tidak disedari oleh pihak pengurusan sekolah. Pentadbir biasanya menilai prestasi seseorang guru berdasarkan tugas yang dilaksanakan, tetapi kebajikan guru pemulihan kurang diberi perhatian. Sokongan yang diperlukan ialah bahan untuk membina bahan bantu mengajar, bilik khas untuk menjalankan program pemulihan khas, kelengkapan dalam bilik khas seperti papan putih, kerusi, meja, LCD projektor, kipas, keluasan kelas 2 atau 3 bay dan bahan-bahan rujukan. Ibu bapa perlu membantu guru melaksanakan pemulihan 3M dengan membuat tindakan susulan di rumah, pastikan murid hadir ke sekolah dan menjaga kebajikan anak-anak mereka dari segi perbelanjaan makan minum di kantin, buku dan bahan-bahan lain yang diperlukan untuk P&P murid. PPD dan JPN perlu datang memantau pelaksanaan program, dan berkongsi idea dalam peningkatan prestasi murid. Guru pemulihan sepatutnya ditawarkan mengikuti kursus berkaitan pengurusan tingkah laku, strategi pengajaran bahasa Melayu dan matematik dan dihantar berkursus untuk LINUS2.0 dan peningkatan kemahiran pengamatan, guru kurang bermotivasi kerana pihak pentadbir sering memperlekehkan program pemulihan kerana ia berkaitan masalah murid yang lemah dan peluang untuk guru berkursus untuk peningkatan profesionalisme juga amat sedikit. 

Guru pemulihan yang proaktif, menghadiri kursus untuk perkongsian idea membina bahan bantu mengajar yang pelbagai & dapat menarik perhatian murid pemulihan untuk terus mengikuti P&P dengan jayanya

Thursday, 5 May 2016

Persoalan yang biasa ditanya berkaitan murid pemulihan

Mengapakah murid pemulihan khas tidak ditempatkan di kelas khas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) ?

Jawapan hasil perbincangan:
* Murid pemulihan khas dimasukkan ke dalam Program Pemulihan Khas bukan disebabkan oleh kecacatan, tetapi oleh kerana kegagalan mereka menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).

*Penempatan ke Program PPKI juga memerlukan pengesahan pegawai perubatan. Sedangkan penempatan ke program pemulihan sekadar pencalonan di peringkat sekolah sahaja dan merujuk hasil analisis terhadap ujian saringan yang diadakan.









Wednesday, 20 April 2016

Pembelajaran Koperatif



Pembelajaran secara koperatif boleh diaplikasi dalam kelas. Sama ada kelas aliran perdana, kelas pemulihan khas atau dilaksanakan dalam bilik kuliah IPG atau IPTA dan IPTS.
Kelebihan pembelajaran koperatif guru/pensyarah dapat melibatkan majoriti pelajar. Galery Tour salah satu cara pembelajaran koperatif. Dalam kumpulan setiap ahli mencari bahan dan menyiapkan tugasan yang telah diberi, tampalkan di galery kumpulan masing-masing, beri masa kepada setiap kumpulan untuk melawat galery semua kumpulan. Pergerakan kumpulan dari satu galery ke satu galery ditetapkan masa. Sambil melawat galery yang sarat dengan maklumat, pelawat boleh menambah point yang tertinggal atau memberikan pendapat dengan menulis di satu ruang yang disediakan. Tiada ahli yang hanya memandang dan membisu seribu bahasa. Setiap ahli perlu memberikan pendapat, membaca setiap maklumat & catatkan bahan rujukan. 


Tuesday, 19 April 2016

Terapi untuk melegakan kanak-kanak...

Terapi untuk memberikan kelegaan, keseronokkan dan keyakinan diri. Mulakan dengan aktiviti yang mudah seperti bermain pasir halus di tepi pantai, diikuti dengan menggunakan pelampung dan seterusnya mandi dengan gembira.



Saturday, 16 April 2016


Latihan Kemahiran Pengamatan Visual

Kemahiran Pengamatan Visual (KPV) dapat dilatih dengan pelbagai bahan, bahan yang berwarna warni menarik minat adik Fatin seorang kanak-kanak sindrom down untuk turut serta beraktiviti. Adik beradik Fatin yang turut sama berada bersama semasa aktiviti dilaksanakan, turut dapat memotivasikan Fatin menjalankan aktiviti KPV. Fatin seorang yang tabah, berusaha menyiapkan padanan kereta mengikut warna. Syabas!  

Aplikasi Terapi Semasa P&P

Terapi boleh diaplikasi ketika guru sedang melangsungkan P&P, masa yang sesuai untuk melaksanakan terapi adalah jika kelihatan murid-murid nampak bosan membaca berulang kali, menulis perkataan yang sama sehingga hampir penuh satu ke tiga muka surat buku tulis. Menjadi fitrah kanak-kanak suka bermain, terapi yang diaplikasi dalam bilik pemulihan lebih menjurus kepada terapi bermain, untuk mengurangkan rasa bosan murid. Bermain permainan indoor yang mudah diurus, mudah digunakan dan mudah dikemas semula. Guru pemulihan juga ada tugas lain yang sedia menanti, menggunakan permainan yang kurang masa untuk menguruskannya lebih praktikal.




Penggunaan getah besar atau dikenali sebagai getah posman juga antara terapi psikomotor halus yang sesuai untuk mengurangkan rasa tekanan murid-murid menjalani aktiviti P&P.
Langkah-langkah aktiviti terapi bermain getah :
i.  Setiap orang murid diberikan getah besar.
ii. Guru menunjukkan bagaimana menyelitkan getah besar dijari jemari pada murid-murid.
iii.Guru menarik getah besar ke atas ke bawah sepanjang yang boleh, tarikan getah bergantung pada keupayaan seseorang untuk menrik getah tanpa menyakitkan jari jemari.
iv. Setelah aktiviti difahami murid, guru memasang lagu yang sesuai dengan kanak-kanak dan membuat aktiviti menarik getah ke atas, ke bawah, ke kiri ke kanan berulang kali.
v.Terapi psikomotor halus menggunakan getah besar boleh dilaksanakan dalam keadaan guru dan murid duduk di tempat belajar.
vi.Jika terapi menggunakan getah besar hendak dilaksanakan secara berdiri, pergerakan boleh ditambah dengan melibatkan psikomotor kasar, iaitu bergerak secara berpusing ke kiri dan ke kanan sambil getah ditarik ke kiri ke kanan ke atas dan ke bawah.
vii.Lagu iringan yang dipasang akan menyeronokkan aktiviti menggunakan getah besar, terapi bermain getah besar ini boleh dilaksanakan sesingkat tiga ke lima minit.