Saturday, 7 May 2016

Persepsi Pihak Sekolah Terhadap Tugas Guru Pemulihan

Terdapat beberapa isu  yang timbul semasa guru pemulihan khas melaksanakan program pemulihan & isu yang timbul itu adakalanya menyebabkan guru semakin kurang bermotivasi mengendalikan program pemulihan khas di sekolah. 

Pihak pengurusan sekolah telah mempunyai persepsi terhadap tugas seorang guru pemulihan khas, yang dikatakan tidak banyak tugas dan kurang mencabar seperti mana guru aliran arus perdana. Persepsi ini berlandaskan bilangan murid dalam kelas pemulihan, kerana peraturan yang telah ditetapkan maksima murid pemulihan khas seramai 15 orang mengikuti program pemulihan khas secara withdrawal system, iaitu  ketika waktu mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik berlaku proses penarikan keluar murid pemulihan khas ke program pemulihan khas yang dilaksanakan dalam bilik pemulihan khas oleh guru pemulihan khas.

Akibat daripada bebanan tugas sekolah yang terlalu banyak, kadang-kala tugas guru pemulihan banyak yang tergendala, apabila banyak kerja yang tergendala, tugas dalam kelas pemulihan secara langsung akan turut terganggu dan terjejas. Pada kebiasaannya guru pemulihan yang paling kerap diberikan kelas ganti kerana guru tidak hadir. Akibatnya, guru pemulihan mengalami banyak gangguan dalam melaksanakan tugasnya selaku guru pemulihan untuk membantu murid mengatasi masalah penguasaan kemahiran 3M. Tugas selaku guru pemulihan khas yang tidak berjalan lancar ini dipandang serong oleh pihak pengurusan sekolah, yang beranggapan guru pemulihan tidak menjalankan tugas dengan dedikasi. Tanggapan negatif pihak pengurusan sekolah menyebabkan guru pemulihan semakin kurang bermotivasi untuk aktif melaksanakan kerja-kerja pemulihan untuk murid-murid yang telah dikenal pasti sebagai murid pemulihan khas.

Isu murid yang bermasalah disiplin dan kemerosotan prestasi akademik ditempatkan dalam program pemulihan khas juga menjadi beban kepada guru pemulihan khas. Jalan penyelesaian pihak sekolah ialah menempatkan murid tersebut dalam kelas pemulihan hal ini menyebabkan guru pemulihan kurang bermotivasi untuk melaksanakan P&P yang berkesan dalam program pemulihan. Isunya kerana murid bermasalah disiplin dan kemerosotan prestasi akan mengganggu perjalanan P&P dalam kelas pemulihan, perancangan P&P yang dibuat oleh guru pemulihan tidak dapat dilaksanakan mengikut perancangan.

Isu penempatan murid pendidikan khas masalah pembelajaran dalam program pemulihan khas juga turut menyebabkan guru kurang bermotivasi untuk melaksanakan tugas selaku guru pemulihan khas yang berkesan. Setelah murid disaring ada murid yang tidak sesuai ditempatkan dalam program pemulihan khas, murid ini adalah murid yang ada ciri-ciri murid pendidikan khas masalah pembelajaran, tetapi atas desakan pihak ibu bapa yang bertegas tidak mahu anak mereka ditempatkan ke program pendidikan khas integrasi (PPKI), murid tersebut dimasukkan ke program pemulihan khas, hal ini boleh menjejaskan P&P yang dirancang kerana murid PPKI ini ada yang bermasalah tingkah laku yang memerlukan perhatian yang lebih, sedangkan masa untuk guru pemulihan khas membantu murid dalam kemahiran 3M amat terhad dalam waktu mata pelajaran  Bahasa Melayu dan Matematik sahaja.

Isu tidak ada bilik khas untuk melaksanakan program pemulihan, antara penyebab guru pemulihan khas tidak bermotivasi. Bahan bantu mengajar dan dokumentasi untuk menyimpan rekod pelajar amat dititik beratkan dalam program pemulihan khas, kerana ia boleh merangsang murid untuk lebih memahami apa yang guru sampaikan dan sistem dokumentasi untuk merekod biodata murid dan prestasi murid. Guru pemulihan khas perlu membina, menyedia dan menggunakan bahan bantu mengajar untuk membantu murid pemulihan menguasai 3M. Bahan-bahan ini lebih efektif diletakkan dalam kelas sebab ia kerap digunakan, manakala dokumentasi adalah bahan yang perlu disediakan secara sistematik dan disimpan dengan kemas untuk memudahkan guru mendapatkan dokumen tersebut untuk dirujuk. Guru pemulihan khas juga perlu menyimpan secara sistematik dan selamat semua bahan dan dokumen berkaitan dengan program pemulihan khas kerana pihak PPD, JPN dan Jemaah Nazir akan datang untuk memantau program pemulihan khas, dokumen tersebut merupakan bukti yang perlu ditunjukkan.

Isu kurang sokongan daripada pihak pengurusan sekolah, PPD, JPN dan ibu bapa sendiri menyebabkan kurangnya motivasi guru pemulihan khas, ini tidak disedari oleh pihak pengurusan sekolah. Pentadbir biasanya menilai prestasi seseorang guru berdasarkan tugas yang dilaksanakan, tetapi kebajikan guru pemulihan kurang diberi perhatian. Sokongan yang diperlukan ialah bahan untuk membina bahan bantu mengajar, bilik khas untuk menjalankan program pemulihan khas, kelengkapan dalam bilik khas seperti papan putih, kerusi, meja, LCD projektor, kipas, keluasan kelas 2 atau 3 bay dan bahan-bahan rujukan. Ibu bapa perlu membantu guru melaksanakan pemulihan 3M dengan membuat tindakan susulan di rumah, pastikan murid hadir ke sekolah dan menjaga kebajikan anak-anak mereka dari segi perbelanjaan makan minum di kantin, buku dan bahan-bahan lain yang diperlukan untuk P&P murid. PPD dan JPN perlu datang memantau pelaksanaan program, dan berkongsi idea dalam peningkatan prestasi murid. Guru pemulihan sepatutnya ditawarkan mengikuti kursus berkaitan pengurusan tingkah laku, strategi pengajaran bahasa Melayu dan matematik dan dihantar berkursus untuk LINUS2.0 dan peningkatan kemahiran pengamatan, guru kurang bermotivasi kerana pihak pentadbir sering memperlekehkan program pemulihan kerana ia berkaitan masalah murid yang lemah dan peluang untuk guru berkursus untuk peningkatan profesionalisme juga amat sedikit. 

Guru pemulihan yang proaktif, menghadiri kursus untuk perkongsian idea membina bahan bantu mengajar yang pelbagai & dapat menarik perhatian murid pemulihan untuk terus mengikuti P&P dengan jayanya

No comments:

Post a Comment

Terima kasih di atas komen membina anda