Terapi boleh diaplikasi ketika guru sedang melangsungkan P&P, masa yang sesuai untuk melaksanakan terapi adalah jika kelihatan murid-murid nampak bosan membaca berulang kali, menulis perkataan yang sama sehingga hampir penuh satu ke tiga muka surat buku tulis. Menjadi fitrah kanak-kanak suka bermain, terapi yang diaplikasi dalam bilik pemulihan lebih menjurus kepada terapi bermain, untuk mengurangkan rasa bosan murid. Bermain permainan indoor yang mudah diurus, mudah digunakan dan mudah dikemas semula. Guru pemulihan juga ada tugas lain yang sedia menanti, menggunakan permainan yang kurang masa untuk menguruskannya lebih praktikal.
Penggunaan getah besar atau dikenali sebagai getah posman juga antara terapi psikomotor halus yang sesuai untuk mengurangkan rasa tekanan murid-murid menjalani aktiviti P&P.
Langkah-langkah aktiviti terapi bermain getah :
i. Setiap orang murid diberikan getah besar.
ii. Guru menunjukkan bagaimana menyelitkan getah besar dijari jemari pada murid-murid.
iii.Guru menarik getah besar ke atas ke bawah sepanjang yang boleh, tarikan getah bergantung pada keupayaan seseorang untuk menrik getah tanpa menyakitkan jari jemari.
iv. Setelah aktiviti difahami murid, guru memasang lagu yang sesuai dengan kanak-kanak dan membuat aktiviti menarik getah ke atas, ke bawah, ke kiri ke kanan berulang kali.
v.Terapi psikomotor halus menggunakan getah besar boleh dilaksanakan dalam keadaan guru dan murid duduk di tempat belajar.
vi.Jika terapi menggunakan getah besar hendak dilaksanakan secara berdiri, pergerakan boleh ditambah dengan melibatkan psikomotor kasar, iaitu bergerak secara berpusing ke kiri dan ke kanan sambil getah ditarik ke kiri ke kanan ke atas dan ke bawah.
vii.Lagu iringan yang dipasang akan menyeronokkan aktiviti menggunakan getah besar, terapi bermain getah besar ini boleh dilaksanakan sesingkat tiga ke lima minit.